Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa jelaskan kadar pemberian vaksin rendah

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan digesa memberi penjelasan berhubung kadar pemberian vaksin negara yang dilihat perlahan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula Februari lalu.

Ketua pembangkang berkata jumlah pemberian vaksin tidak meningkat dengan hanya 24,000 dos sehari, berbanding 13 negara berpendapatan sederhana di rantau Asia.

“Menteri tersebut (Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin) mendakwa Malaysia mampu mencapai 80 peratus kadar vaksinasi sebelum penghujung tahun ini.

“Tetapi kadar vaksinasi di Malaysia lembab dan tidak meningkat sejak ia diumumkan pada Februari lalu,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut meminta penjelasan berkaitan keupayaan logisitik di seluruh negara bagi mencapai 210,000 dos sehari termasuk penyelarasan dengan hospital, fasiliti kesihatan, klinik awam dan farmasi.

“Rencana ini mesti dikongsikan, jika tidak kepada rakyat sekali pun ia mesti dikongsikan kepada jawatankuasa bipartisan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Rafizi Dakwa KJ Akui Kerajaan Tiada Upaya Hapus Cukai Bebankan Rakyat

SHAH ALAM 25 JULAI : Bagi memajukan ekonomi negara rakyat seharusnya tidak dibebankan dengan cukai melampau sebaliknya sumber keuntungan negara sepatutnya datang daripada pertumbuhan ekonomi yang sihat.

Perkara ini dilontarkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mahu kuasa beli rakyat dipertingkatkan kerana kuasa beli rakyat yang kuat akan meningkatkan dapatan ekonomi negara.

Rafizi berkata demikian bagi mengulas pandangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyatakan penghapuskan duti import dan eksais bagi kereta akan melesapkan RM4.6 bilion hasil dari cukai pendapatan negara.

Kenyataan tersebut mengesahkan bahawa beliau(Khairy) sebenarnya sukar untuk mengubah struktur cukai kereta yang sedia ada kerana beliau memahami kadar tersebut tinggi dan membebankan.

“Secara langsung sebenarnya saudara Khairy mengakui kelemahan pentadbiran BN kerana cara beliau bercakap itu seolah-olah mengiyakan BN gagal mentadbir ekonomi negara dengan baik, gagal mengawal perbelanjaan kerajaan. Maka cara pendek yang diambil oleh Umno-BN adalah mengenakan cukai yang tinggi terhadap rakyat.

“Pandangan saya dia mengakui struktur cukai kereta yang ada sekarang memang cukup membebankan.

“Cara yang lebih baik untuk jangka masa panjang adalah kita mahu tingkatkan pendapatan rakyat kuasa beli rakyat. Bila rakyat berbelanja maka ekonomi akan tumbuh dengan baik dan keuntungan syarikat juga akan lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Rafizi pada sidang medianya semalam menyatakan, Pakatan Rakyat menawarkan pengurangan harga kereta di dalam menifesto pilihan raya akan datang sekiranya berjaya mentadbir Putrajaya.

Menurutnya lagi, angka bagi menurunkan cukai harga kereta yang dicadangkan Pakatan sebenarnya lebih rendah berbanding beberapa projek besar yang sedang direncanakan oleh BN seperti pembinaan Loji Langat 2 dan LRT Ampang.

Jelas beliau, cadangan penurunan harga cukai kenderaan berkenaan akan dibuat secara berperingkat dan bukannya secara mendadak bagi mengimbangi penurunan harga kereta terpakai.

“Kiita tidak dengar mereka (pemimpin Umno-BN) mempersoalkan perbelanjaan berbilion BN tetapi hanya mempersoalkan bagaimana jika PR ingin berbelanja kepada rakyat.

“Penghapusan cukai ini tidak dibuat secara serta merta tetapi secara berperingkat supaya kita boleh imbangkan penurunan harga kereta dengan nilai kereta terpakai (second hand). Kalau buat serta merta maka harga kereta terpakai akan jatuh mendadak,” katanya.

Rafizi turut tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa penurunan harga kereta akan mengganggu prestasi Proton sebaliknya menganggap kenyataan tersbut sebagai satu penghinaan.

Categories
NASIONAL

Najib Perlu Contohi Khairy Untuk Berdebat

SHAH ALAM 23 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya mengikuti jejak langkah Ketua Pemuda Umno, Khairi Jamaluddin yang berani berdebat dengan Ketua Pambangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika benar-benar ingin membentangkan secara jelas segala dasar atau polisi yang dilaungkannya selama ini.

Malangnya, menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Idris Ahmad, keengganan Najib untuk berdebat, bolehlah diibaratkan sebagai alasan seorang yang penakut.

“Kalau berani dan sememangnya segala hujah itu berfakta, silalah berdebat sepertimana yang ditunjukkan kedua-dua anak muda malam tadi iaitu saudara Rafizi Ramli dan Yang Berhormat Khairi Jamaluddin yang berdebat mengenai isu penghapusan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara).

“Walaupun YB Khairi dilihat lemah hujahnya, namun keberaniannya itu wajar dipuji dan wajar menjadi ikutan kepada pemimpin Umno/BN yang lain terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak,” ujar Idris yang ditemubual melalui panggilan telefon sebentar tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat masih ragu-ragu akan keberanian Najib untuk menyahut cabaran debat daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ianya ibarat menunggu bulan jatuh ke riba kerana sehingga kini tiada tanda-tanda langsung Najib akan turun berdebat secara depan-depan dengan Anwar.

“Sekadar menggunakan media untuk membalas kenyataan dan mengeluarkan kata-kata kosong tanpa hujah dan fakta itu adalah tidak sesuai dengan Najib sebagai seorang Perdana Menteri,” jelas beliau.

Sementara itu, mengulas isu debat PTPTN antara Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairi Jamaluddin, Idris berkata, ianya suatu permulaan yang baik untuk senario politik tanah air yang semakin ‘sakit’.

“Kalau dilihat budaya politik Umno/BN sekarang adalah kotor, dengan fitnahnya, budaya samsengnya, berbeza dengan Pakatan Rakyat yang sentiasa menyertakan fakta dan pelan lengkap sesuatu dasardibentangkan, malah setiap dakwaan juga pasti disertakan bukti dan hujah.

“Umno/BN pula memang dari dahulu lagi tidak mahukan budaya intelektual seperti ini dijadikan ‘gelanggang’ kerana mereka sedar mereka tidak akan mampu menang,” jelasnya lagi sambil menambah beliau yakin pimpinan PR bersedia pada bila-bila masa untuk berdebat dengan pimpinan Umno/BN.