Categories
NASIONAL

‘Road Gang’ Kurangkan Kos Penyelenggaraan

SUBANG JAYA 2 JULAI : Cadangan mewujudkan ‘Road Gang’ dalam melaksanakan projek yang mampan serta penyelenggaraan jalan raya secara ‘In House'(dalaman) dilihat mampu mengurangkan kos penyelenggaran.

‘Road Gang’ itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan awam yang dilaksanakan sendiri secara jabatan dengan mengambil kira pengurusan skop, kos, masa dan kualiti bagi mencapai hasil kerja yang berkualiti, cepat dan berpatutan dengan wang yang dilaburkan.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor, Shukri Ishak dalam perbentangannya menerangkan pengurangan kos itu di ambil kira dari segi perbezaan penyelenggaraan oleh kontraktor dan pihak jabatan.

Katanya, kerja perlaksanaan ‘Patching’ di peringkat jabatan hanya akan menelan belanja sebanyak RM26.38 bagi satu meter persegi berbanding dengan perlaksanaan kontraktor sebanyak RM90.97 meter persegi.

“Manakala bagi kerja-kerja membaharu muka yang dilakukan oleh jabatan akan menelan belanja sebanyak RM200 per tan berbanding yang dilakukan oleh kontraktor iaitu sebanyak RM251.40 per tan,” katanya ketika membentangkan Dialog Bajet Selangor 2013 bertajuk ‘Pengurusan projek yang mampan menjamin pengimbangan kualiti, kos, skop dan masa di samping membudayakan penyelenggaraan jalan raya secara In House’.

Jelasnya, tiga perkara utama yang perlu ada dalam perlaksanaan ‘Road Gang’ itu antaranya melibatkan sumber manusia iaitu secara teknikal dan bukan teknikal serta mesin dan peralatan selain keperluan bahan mentah.

“Ia penting bagi memastikan kerja-kerja yang akan dilakukan mengikut spek kajian yang betul.

“Selain itu, perlu ditekankan juga empat perkara penting dalam pengurusan kawalan kualiti iaitu latihan teknikal kakitangan terlibat, mengenalpasti piawaian teknikal yang digunakan, mengguna pakai sistem pengurusan kualiti dan pengawalan kualiti bahan mentah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bagi penubuhan ‘Road Gang’ itu, pihak jabatan perlu menyediakan peralatan mesin untuk kerja-kerja pembaikian dan pembinaan jalan kira-kira sebanyak RM3.2 juta.

Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abd Rahman berkata tiga masalah utama yang timbul dalam perlaksanaan itu ialah peralatan yang tidak mencukupi, kakitangan yang tidak terlatih dalam pengendalian kerja-kerja dan kos penyelenggaraan tinggi.

Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan meningkatkan latihan amali dan kursus teknikal kepada pekerja, menambah kakitangan kontrak, menyewa peralatan yang melibatkan kos yang tinggi sekiranya dibeli, memberi intensif elaun panas kepada kakitangan dan melakukan secara berperingkat mengikut kemampuan jabatan.

Penubuhan ‘Road Gang’ itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ia diwujudkan kerana melihat penswastaan penyelenggaraan jalan yang giat dijalankan dalam masa beberapa tahun ini.

Hadir sama, Abdul Khalid, Yang diPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published.