Categories
NASIONAL

Guru Pondok Fatwa Haram Undi DAP Terima Sumbangan RM2 juta Dari Umno

SHAH ALAM 17 OGOS: Laporan dan foto pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah sedang menerima sumbangan RM2 juta dari Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang semakin hangat diperkatakan di ruang siber mencetuskan pelbagai tanggapan negatif terhadap guru agama tersebut.

Beliau yang sebelum ini mengeluarkan fatwa kontroversi, mengharamkan pengundi Islam mengundi DAP itu baru-baru ini didapati menerima sumbangan bagi membiayai perbelanjaan sekolah agama yang diasasnya itu.

Malah, beliau turut menggelarkan parti itu sebagai kafir harbi.

Menurut laporan beberapa akhbar arus perdana semalam, majlis penyerahan sumbangan itu diadakan pada Selasa, 14 Ogos iaitu kira-kira hampir seminggu selepas beliau mengeluarkan fatwa kontroversi itu.

Menurut satu laporan Utusan Online semalam, peruntukan RM2 juta tersebut diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan berdasarkan kepada permintaan jawatankuasa pondok berkenaan.

Pondok berkenaan dikatakan hanya mempunyai seramai 25 orang pelajar sahaja pada masa ini.

Menurut pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang turut dikenali sebagai Chegu Bard hari ini, fatwa yang dikeluarkan oleh Abdullah itu memberi imej buruk kepada agama Islam hari ini.

“Mula-mula dia keluarkan fatwa haram orang Islam sokong DAP, lepas tu umum mengetahui dia terima RM2 juta dari Umno sekali gus memberi tanggapan bahawa guru-guru agama ini boleh digunakan dengan wang,” kata beliau kepada TVS hari ini.

Menurut Chegu Bard, lebih memburukan keadaan apabila fatwa yang dikeluarkan ini didapati boleh mengancam keselamatan dan menghuru-harakan negara.

“Malah, keamanan yang ada boleh terancam kalau umat Islam di Malaysia mengambil serius fatwa yang dikeluarkan, seolah menggambarkan Islam menghalalkan darah ahli DAP.

“Kalau kita kaji era kejatuhan Islam di barat ketika zaman gelap di eropah, keadaan ini jug mampu melemahkan pengaruh Islam sendiri di negara ini,” kata Chegu Bard.

Leave a Reply

Your email address will not be published.