Categories
SELANGOR

Kerajaan P.Pinang Anugerah RM100 Ribu Untuk Chong Wei


SHAH ALAM 7 OGOS : Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menghadiahkan anugerah insentif sebanyak RM 100,000 kepada pemenang pingat Perak dua kali Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei yang baru pulang ke tanah air pagi ini.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pemberian insentif berkenaan sebagai penghargaan kepada usaha gigih beliau dalam pemburuan emas pertama negara dalam Sukan Olimpik 2012 baru-baru ini.

“Walaupun beliau tewas tipis dua mata di belakang pemain China, Lin Dan, rakyat Malaysia secara keseluruhannya masih sangat berbangga dengan sikap juang yang ditunjukkan beliau.

“Walaupun beliau gagal mendapatkan emas Olimpik pertama untuk Malaysia, hakikatnya beliau berjaya memenangi emas Olimpik dalam hati semua rakyat negara ini,” ujar Guan Eng.

Pemberian wang insentif itu akan diberi melalui program Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) yang dianjurkan khusus bagi menghargai atlit-atlit bertaraf dunia kelahiran Pulau Pinang.

“Wang insentif ini juga adalah sebagai penyuntik semangat kepada Chong Wei bagi memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016 nanti.

“Semangat juang dan kemahiran berkelas dunia yang dimiliki beliau ternyata memberi inspirasi kepada kita selain menjadikan semua rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa.

“Sesungguhnya kami sangat berbangga dan berbesar hati dengan pencapaian jaguh badminton dari Bukit Mertajam ini” tambah Guan Eng.

Dalam perlawanan akhir badminton lelaki Sukan Olimpik Ahad lalu, Chong Wei akhirnya tewas 19-21 kepada Pemain Nombor 1 Dunia, Lin Dan dalam set ketiga setelah mendahului terlebih dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.