Categories
NASIONAL

Pakatan Guna Tema, Logo, Lagu Kemerdekaan Berbeza

PETALING JAYA, 7 OGOS: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan menggunakan tema, logo dan lagu sambutan Merdeka ke 55 yang tersendiri dan berbeza dari Kerajaan Pusat.

Keputusan itu diambil apabila tema Hari Kebangsaan ‘Janji Ditepati’ yang diumumkan Kerajaan Pusat bersifat kepartian kerana ia mirip tema kempen pilihan raya BN.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini, kepimpinan Pakatan telah bersetuju untuk mengangkat ‘Sebangsa Senegara Sejiwa’ sebagai tema Hari Kemerdekaan.

Bagaimanapun menurut beliau, logo dan lagu akan diumumkan pada hari Khamis nanti.

“Kita dah kenal pasti, nanti hari Khamis ini kita akan umumkan secara rasmi di sini juga,” kata Mustafa dalam sidang media Pakatan yang diadakan di Ibu Pejabat PKR tadi.

Mustafa juga memberitahu, lagu gubahan seorang komposer terkenal dipilih sebagai lagu tema Hari Kemerdekaan tahun ini.

Dalam isu sama, Mustafa memberitahu negeri Kedah dan Kelantan akan menggunakan tema yang berbeza.

“Exco Kelantan dan Kedah akan guna tema lain kerana mereka terlebih dahulu buat keputusan dalam mesyuarat mereka, malah dah dicetak,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusan itu diambil bagi mengelakan pembaziran berlaku dalam negeri-negeri yang diterajui Pakatan.

Sebelum ini, tema Merdeka Kerajaan Pusat Umno-BN yang diumumkan Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim, ?55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’, mendapat tentangan dari pelbagai pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published.