Categories
AGENDA NASIONAL

Senator, pegawai boleh berbaju batik ke Dewan Negara setiap Khamis

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Dewan Negara membenarkan pemakaian batik kepada semua senator dan pegawai pada setiap Khamis.

Pengumuman itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim mengikut Peraturan Mesyuarat 90 (Kuasa-kuasa dalam perkara-perkara lain) sebelum sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Dewan Negara sentiasa menyokong perkembangan dan pembangunan industri batik negara.

“…khususnya dalam menjamin dan memastikan warisan seni dan identiti negara kekal terpelihara, segar, dihargai dan seterusnya dikenali masyarakat antarabangsa di samping memajukan dan meningkatkan perkembangan industri tekstil dalam negara Malaysia,” katanya yang menggalakkan pemakaian batik tempatan.

Rais berkata kebenaran itu bukan sahaja dapat menonjolkan semangat kebersamaan Ahli Dewan Negara mendukung warisan negara, malah dapat melonjakkan imej Malaysia dalam kalangan rakyat yang kini semakin peka dengan peranan serta fungsi legislatif negara.

“Sukacita saya mengakhiri dengan menyatakan bahawa dasar pemakaian batik pada 2005 itu hidup kembali,” katanya.

Pada 11 Okt lepas, Jawatankuasa Dewan telah bersetuju dengan cadangan pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang bagi Ahli-Ahli Parlimen ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap Khamis.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rais Yatim rai penyatuan Anwar – Tun M urus negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 MEI : Penyatuan semula legasi kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut baik bekas menteri kabinet, Tan Sri Rais Yatim.

Di Twitter, Rais berkata, penyatuan itu diyakini mampu menjadikan Malaysia berada pada kedudukan lebih baik, pada masa depan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat kembali ke pangkuan keluarga dan persada rakyat.

“Selamat membina semula negara bangsa bersama Tun Mahathir dan rakan-rakan,” katanya.

Semalam, Anwar Ibrahim mengesahkan sokongan berterusannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, di Putrajaya.

Untuk rekod, Tun Mahathir merupakan antara individu terpenting yang mengusulkan proses pengampunan diraja, terhadap bekas Ketua Pembangkang itu.

Anwar sebelum ini menjalani hukuman penjaran lima tahun, atas pendakwaan Fitnah II terhadapnya.

Beliau bagaimanapun menerima pengampunan diraja ranpa syarat, yang memasnuhkan sekatan hukuman itu.

Categories
NASIONAL

BERSIH Belum Puashati SPR Belum Tunai Tuntutan

BERSIH Lancar Garis Panduan Kerajaan Sementara 02

KUALA LUMPUR, 4 APRIL : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana masih belum melaksanakan tuntutannya.

Ini kerana, di dalam lapan tuntutan Bersih 2.0 sejak dilancarkan pada tahun 2011, hanya penggunaan dakwat kekal digunapakai dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga berkata, pihaknya turut tidak berpuas hati dengan cara perlaksanaan penggunaan dakwat kekal.

“Tidak puas hati, setakat ini, hanya satu yang ditunaikan, iaitu dakwat kekal, dan Bersih tak puas hati dengan cara pelaksanaan dakwat ini,” katanya

Ditebak berkenaan masalah pengundi di luar negara, bekas presiden Majlis Peguam itu ternyata kecewa lagi dengan tindakan SPR.

“Kita tidak tahu sama ada mereka (pengundi luar negara) mempunyai peluang untuk mendaftar; tidak diberikan maklumat secukupnya.

“Mereka (SPR) berjanji akan buat (penuhi tuntutan) setahun lalu tetapi dibuat ketika terlalu hampir dengan pilihan raya,” katanya.

Antara tuntutan lain Bersih 2.0 adalah membersihkan senarai nama pengundi berdaftar, mereformasikan undi pos, masa minima berkempen adalah 21 hari, akses media yang bebas dan adil, pengukuhan institusi awam, menghentikan rasuah serta politik kotor.

Katanya, akses media secara bebas bagi semua pihak termasuk rakyat merupakan perkara asas di dalam tuntuan Bersih 2.0 turut tidak dilaksanakan.

“Apa yang ditawarkwan kerajaan, 10 minit. Awak nilaikan.

“Adakah ia cukup? Ini suatu jenaka,” ujarnya lagi.

Tambahnya, sekarang merupakan masa terbaik bagi Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim membuka ruang media secara bebas kepada semua parti politik yang bertanding selaras dengan garis panduan yang terkandung di dalam garis panduan kerajaan sementara dan bukan sekadar ‘pengumuman semata-mata’.

Selanjutnya turut dicadangkan agar satu perbincangan terbuka diantara wakil Pakatan Rakyat dan BN yang dipengerusikan oleh seorang moderator bagi menjelaskan tawaran di dalam manifesto masing-masing.

Categories
NASIONAL

Pakatan Guna Tema, Logo, Lagu Kemerdekaan Berbeza

PETALING JAYA, 7 OGOS: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan menggunakan tema, logo dan lagu sambutan Merdeka ke 55 yang tersendiri dan berbeza dari Kerajaan Pusat.

Keputusan itu diambil apabila tema Hari Kebangsaan ‘Janji Ditepati’ yang diumumkan Kerajaan Pusat bersifat kepartian kerana ia mirip tema kempen pilihan raya BN.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini, kepimpinan Pakatan telah bersetuju untuk mengangkat ‘Sebangsa Senegara Sejiwa’ sebagai tema Hari Kemerdekaan.

Bagaimanapun menurut beliau, logo dan lagu akan diumumkan pada hari Khamis nanti.

“Kita dah kenal pasti, nanti hari Khamis ini kita akan umumkan secara rasmi di sini juga,” kata Mustafa dalam sidang media Pakatan yang diadakan di Ibu Pejabat PKR tadi.

Mustafa juga memberitahu, lagu gubahan seorang komposer terkenal dipilih sebagai lagu tema Hari Kemerdekaan tahun ini.

Dalam isu sama, Mustafa memberitahu negeri Kedah dan Kelantan akan menggunakan tema yang berbeza.

“Exco Kelantan dan Kedah akan guna tema lain kerana mereka terlebih dahulu buat keputusan dalam mesyuarat mereka, malah dah dicetak,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusan itu diambil bagi mengelakan pembaziran berlaku dalam negeri-negeri yang diterajui Pakatan.

Sebelum ini, tema Merdeka Kerajaan Pusat Umno-BN yang diumumkan Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim, ?55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’, mendapat tentangan dari pelbagai pihak.

Categories
NASIONAL

Bob Lokman : Lirik ‘Janji Ditepati’ Penghinaan Kepada Kemerdekaan

SHAH ALAM 29 JULAI : Lirik lagu tema sambutan kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ dilihat sebagai satu penghinaan kepada kemerdekaan negara dan hanya bertujuan untuk meraih kelangsungan hayat politik Umno-BN semata-mata.

Bekas penulis lirik terkenal, Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman dalam reaksinya berkata, kemerdekaan negara sebenarnya membawa makna yang luas dan istimewa bagi rakyat Malaysia yang selama ini tidak melihat sambutan berkenaan sebagai satu medan politik kepartian mana-mana pihak.

“Pada saya ia satu penghinaan besar kerana lirik tersebut hanya menggambarkan kerja-kerja politik dan bukannya melambangkan besarnya erti kemerdekaan kepada kita semua rakyat Malaysia.

“Kalau Umno betul-betul ingin menghayati erti kemerdekaan, lirik tersebut tidak sepatutnya bias,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Menurutnya lagi, penulis lirik tersebut hanya ingin ‘membodek’ rakyat supaya terus menyokong BN dan bukannya menghayati erti kemerdekaan.

Lagu bertajuk ?Janji Ditepati?, lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim dipilih menjadi lagu tema sambutan kemerdekaan negara.

Minggu ini menyaksikan ruang laman sosial Facebook dan Twitter dihangatkan dengan isu video lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 yang dilihat sebagai modal politik Umno-BN untuk memancing undi dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Paling mencuri tumpuan, rangkap ?Janji Sudah Ditepati, Kini Masa Balas Budi? menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang menganggap rangkap berkenaan sebagai ?menuntut? rakyat mengenang kembali jasa pemerintahan Umno-BN.