Categories
NASIONAL

Penganjur Kecewa Dengan Provokasi Terhadap Himpunan Janji BERSIH

SHAH ALAM 15 OGOS : Gabungan Himpunan Janji BERSIH akan memastikan himpunan yang akan diadakan di ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka, 30 Ogos ini akan berjalan dengan aman.

Penggerak utama Himpunan Janji BERSIH, Datuk A Samad Said berkata beliau kecewa dengan pihak yang cuba untuk melakukan provokasi terhadap himpunan tersebut.

Katanya, himpunan itu adalah usaha menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

“Hanya pihak tertentu sahaja yang sengaja mempersulitkan keadaan dan hal demikian bukan datang daripada kita?, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Janji BERSIH hanya merupakan satu himpunan yang mengkehendaki para pesertanya memakai pakaian berwarna kuning untuk menyambut Hari Merdeka.

Tokoh sasterawan yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad berkata satu mesyuarat lanjut akan diadakan malam esok bagi membincangkan provokasi kumpulan anti-BERSIH.

Baru-baru ini Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) dilaporkan mengancam untuk bertindak agresif terhadap perhimpunan itu.

Samad turut menyangkal dakwaan pihak polis kononnya program itu cuba mempolitikkan sambutan Merdeka.

Katanya, perkara itu tidak timbul kerana program itu dibuat bersama 26 kelompok NGO yang mahu lapan tuntutan BERSIH ditunaikan.

Antara tuntutan tersebut adalah membersihkan daftar pemilih, menyediakan akses media yang adil kepada parti politik, menggunakan dakwat kekal dan memberi tempoh kempen minima 21 hari.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata mana-mana pihak tidak perlu mengadakan provokasi kerana perhimpunan itu merupakan perhimpunan aman.

“Mengapa menjadi kesalahan untuk berpakaian warna kuning semasa Janji Bersih?” katanya.

Dilaporkan sebelum ini perhimpunan Janji BERSIH itu bakal disertai 26 daripada 80 badan gabungan BERSIH.

Leave a Reply

Your email address will not be published.