Categories
NASIONAL

Projek IC Sabah : Siasat Secara Terbuka, Anwar Sedia Beri Kerjasama Kepada RCI

SHAH ALAM, 15 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.

Kerjasama ini sekaligus membidas dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mendakwa beliau(Anwar) pernah menentang pembentukan RCI bagi menyiasat masalah pendatang asing di Sabah pada tahun 1994.

Ketua Umum PKR itu mencabar siasatan dilakukan secara terbuka bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Soi Lek itu.

“Chua Soi Lek ini hanyalah alat murahan Umno untuk menyerang Pakatan Rakyat dan siasatan harus dijalankan secara terbuka untuk membongkar kebenaran dan saya sedia memberi kerjasama penuh,” tegasnya ketika ditemui selepas solat terawih di kediaman rasmi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malam tadi.

Pada 11 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan penubuhan RCI setelah didesak oleh pemimpin Umno-BN Sabah sehingga ada yang bertindak keluar dari parti itu dan menistihar menyokong Pakatan Rakyat.

Jelas Anwar. Pakatan Rakyat telah lama mendesak supaya diadakan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan pemberian kewarganegaraan secara tidak sah yang didakwa dilakukan sewaktu era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Pemberian kewarganegaraan ini didakwa bertujuan mengukuhkan sokongan terhadap Umno-BN di Sabah dan diakui sendiri oleh Tun Mahathir namun mendakwa tidak mengetahuinya lebih lanjut.

Menurut Anwar, penubuhan RCI akan membuktikan beliau tidak pernah terlibat dalam pendaftaran kewarganegaraan sewaktu berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya tidak pernah diberi tanggungjawab memikul tugas ini sepanjang saya bergelar Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya juga tidak pernah membuat keputusan berhubung perkara ini, saya hanya faham tugas ini di bawah Majlis Keselamatan Negara dan Unit Khas di bawah Perdana Menteri,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.