Categories
SELANGOR

Penjawat Awam : Bonus Simpanan SelangorKu Dorong Budaya Menabung

SHAH ALAM, 8 OGOS: Rata-rata penjawat awam Selangor mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor di atas pemberian bonus tambahan berbentuk simpanan SelangorKU sebanyak RM 200.

Seorang kakitangan bahagian Sumber Manusia, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Azhar Putih, 34, berkata bonus tambahan ini akan digunakan sebagai simpanan untuk masa hadapan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberi bonus tambahan berbentuk simpanan ini dan saya akan menjadikan ia simpanan di masa hadapan,” katanya yang pertama kali membuka akaun simpanan Lembaga Tabung Haji.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minima RM 500 kepada kakitangan awam Selangor.

Setiap kakitangan juga mendapat RM 200 sebagai bonus simpanan yang akan dimasukkan ke dalam akaun Lembaga Tabung Haji atau Bank Simpanan Nasional.

Seramai 20 orang penjawat awam Selangor menerima bonus daripada Abdul Khalid dalam satu majlis simbolik yang berlangsung di ruang legar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi tadi.

Majlis ini turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi, barisan Exco-exco Selangor, Ketua-ketua Jabatan serta kakitangan Kerajaan Negeri.

Pada majlis yang sama, Pengarah BSN, Noraini Mohd Johan turut menyampaikan Mock Sijil Simpanan Premium Kepada Abdul Khalid.

Bagi Rajeshwary Saminathan, 45, sumbangan ini menunjukkan Kerajaan Negeri mahu menggalakkan rakyatnya menabung untuk masa depan.

“Selain membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak melupakan jasa kakitangannya, Kerajaan Negeri turut mahu menggalakkan rakyatnya menabung untuk masa hadapan,” katanya yang bekerja di Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.