Categories
NASIONAL

PKR Mengalu-Alukan Sokongan MAA Turunkan Harga Kereta

SHAH ALAM 28 OGOS : PKR mengalu-alukan kenyataan Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad yang menyokong tuntutan penurunan harga kereta.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kenyataan MAA itu bahawa harga kereta diturunkan secara berperingkat-peringkat seiring kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar menegaskan bahawa penurunan ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat selama lima tahun bagi mengelakkan harga kereta sedia ada dan terpakai merudum.

“Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat nanti akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

“Ia termasuk institusi kewangan, pembuat dan penjual kereta sebelum sebarang penurunan duti eksais di dalam Belanjawan Persekutuan setiap tahun,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Jelas Nik Nazmi, PKR melancarkan kempen ‘Turunkan Harga Kereta’ kerana ia merupakan cara efektif dan segera untuk menaikkan pendapatan isirumah rakyat.

Angka-angka dari pelbagai sumber termasuk Kajiselidik Pendapatan Isirumah dan Kemudahan Awam 2009 yang diterbitkan Jabatan Statistik mencatatkan beberapa fakta yang merisaukan.

Fakta menunjukkan 53 peratus daripada isirumah di Malaysia mempunyai pendapatan bawah RM3,000 sebulan dengan 71.9 peratus daripada isirumah memiliki atau menggunakan kereta;

Malahan nisbah hutang isirumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 33 peratus pada 1997 kepada 78 peratus pada 2011.

Manakala Kadar hutang isirumah kepada KDNK adalah 140 peratus pada 2011, lebih tinggi dari Singapura (105 peratus), Thailand (53 peratus) dan Indonesia (38 peratus);

“Jumlah hutang daripada kereta peribadi merupakan jumlah hutang kedua terbesar selepas rumah kediaman sebanyak RM134.2 bilion pada akhir Mei 2012; dan

“Jumlah hutang daripada kereta swasta telah meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14 peratus dalam 18 bulan, berbanding RM118 bilion pada November 2010,” ujar Nik Nazmi.

Tambah Nik Nazmi, harga kereta yang lebih rendah bermakna pinjaman kereta yang lebih rendah.

Maka rakyat tidak akan menghabiskan begitu banyak pendapatan isirumah untuk membayar pinjaman di mana sebahagian besarnya adalah cukai kerajaan.

Sebaliknya, mereka akan mempunyai pendapatan bolehguna yang lebih tinggi yang akan meningkatkan kualiti kehidupan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

“Dalam kempen Turunkan Harga Kereta ini, kami akan mengadakan forum-forum bermula September di seluruh negara.

“Kami turut bercadang menjemput MAA dan berharap mereka dapat hadir bagi berkongsi idea mereka tentang isu penting ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.