Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan kenderaan naik 33 peratus kepada 63,878 unit pada Mac 2021

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Jualan kenderaan di Malaysia meningkat 33 peratus kepada 63,878 unit pada bulan Mac tahun ini berbanding 21,242 unit pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Dalam satu kenyataan hari ini, ia memaklumkan beberapa syarikat kereta bergegas untuk membuat penghantaran pada bulan lepas berikutan tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac, 2021, di samping membuat persediaan untuk pelancaran model baharu.

MAA berkata jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 56,478 unit pada Mac 2021 berbanding 18,974 pada Mac 2020 dan jualan kenderaan komersial turut naik kepada 7,400 unit pada bulan berkenaan berbanding 2,268 unit sebelum itu.

Persatuan itu mengaitkan jumlah keseluruhan industri sektor automotif Malaysia yang rendah pada tahun lepas adalah disebabkan pengkuatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan bulan ke bulan, jumlah jualan bagi Mac 2021 adalah 49 peratus lebih tinggi berbanding Februari 2021, katanya.

Daripada segi jumlah pengeluaran, MAA berkata sebanyak 62,221 kenderaan dihasilkan pada Mac 2021 berbanding 22,657 unit bagi bulan yang sama tahun lepas.

Ia menyatakan pengeluaran kenderaan penumpang meningkat kepada 58,102 unit pada bulan Mac 2021 berbanding 21,087 pada bulan Mac 2020, sementara pengeluaran kenderaan komersial juga meningkat kepada 4,119 unit daripada 1,570 unit sebelumnya.

Mengenai prospek April 2021, MAA berkata pihaknya menjangkakan jumlah jualan terus bertahan seperti bulan Mac berikutan kempen agresif yang dijalankan secara berterusan oleh syarikat-syarikat kereta.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan kenderaan naik 4.13 peratus pada Februari 2021

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Jualan kenderaan di Malaysia meningkat 4.13 peratus kepada 42.784 unit pada Februari tahun ini daripada 41.088 unit pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA dalam satu kenyataan semalam berkata jualan kenderaan penumpang naik kepada 37,923 unit pada Februari 2021 daripada 37,359 pada Februari 2020 dan jualan kenderaan komersial melonjak kepada 4,861 unit pada bulan yang dikaji daripada 3,729 unit sebelumnya.

Berdasarkan bulan ke bulan, jumlah jualan bagi Februari 2021 adalah 30 peratus lebih tinggi daripada Januari 2021 kerana jumlah pengunjung ke bilik pameran menunjukkan banyak peningkatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri ditamatkan, katanya.

Daripada segi jumlah pengeluaran, MAA berkata 45,199 kenderaan dikeluarkan pada Februari 2021 berbanding 40,371 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

Ia berkata pengeluaran kenderaan penumpang melonjak kepada 41,301 unit pada Februari, 2021 berbanding 37,893 pada Februari, 2020, manakala pengeluaran kenderaan komersial juga naik kepada 3,898 unit daripada 2,478 unit sebelumnya.

Mengenai prospek untuk Mac 2021, MAA berkata ia menjangkakan jumlah jualan akan lebih tinggi daripada pada Februari, 2021 kerana syarikat membuat penghantaran memadangkan tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2021 dan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disambung semula untuk semua jenis urus niaga kenderaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kecualikan cukai jualan beli kenderaan baharu tingkat permintaan – MAA

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pengecualian cukai untuk penjualan kenderaan yang diumumkan semalam diharapkan dapat meningkatkan permintaan dan memacu industri tersebut pada suku yang akan datang mendatang setelah mengalami kemerosotan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata pengecualian cukai yang diumumkan dapat membantu mengurangkan kos serta menurunkan harga jualan digabungkan dengan tawaran dan diskaun dari peniaga kereta.

“Bagaimanapun, kami masih berhati-hati terhadap unjurannya dan akan kekal kepada sasaran jumlah jualan kami yang disemak iaitu sebanyak 400,000 unit berbanding dengan jangkaan sebelum sebanyak 620,000 unit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Di bawah peraturan cukai jualan dan perkhidmatan, kenderaan akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus.

Aishah berkata jualan kereta yang dianggap sebagai barangan bernilai bagi pembeli akan mengikuti trend pekerjaan di negara ini.

“Bank ketika ini mengenakan prosedur ketat dalam meluluskan pinjaman kereta. Kami akan memantau trend ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada bulan April, hanya 141 jualan kenderaan dicatatkan berbanding 49,935 pada tempoh yang sama tahun lalu kerana pandemik Covid-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dalam satu kenyataan menyambut baik insentif diberikan kepada industri automotif Malaysia.

Presidennya K. Ravindran berkata inisiatif itu adalah berita baik bagi industri automotif dan penjimatan penuh akan dinikmati pelanggan.

“Dan kami menjangkakan bahawa penurunan harga akan membantu memperkukuhkan semula industri automotif,” katanya.

UMWT akan membuat penyesuaian berkaitan dengan harga runcit semua modelnya dan melaksanakannya pada 15 Jun.

Langkah-langkah itu diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk mengimbangi kesan wabak Covid-19.

Kerajaan memberi pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan baharu mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Untuk model pemasangan tempatan (CKD), pengecualian diberi sebanyak 100 peratus sementara pengecualian sebanyak 50 peratus dikenakan terhadap unit yang diimport (CBU).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PKR Mengalu-Alukan Sokongan MAA Turunkan Harga Kereta

SHAH ALAM 28 OGOS : PKR mengalu-alukan kenyataan Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad yang menyokong tuntutan penurunan harga kereta.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kenyataan MAA itu bahawa harga kereta diturunkan secara berperingkat-peringkat seiring kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar menegaskan bahawa penurunan ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat selama lima tahun bagi mengelakkan harga kereta sedia ada dan terpakai merudum.

“Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat nanti akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

“Ia termasuk institusi kewangan, pembuat dan penjual kereta sebelum sebarang penurunan duti eksais di dalam Belanjawan Persekutuan setiap tahun,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Jelas Nik Nazmi, PKR melancarkan kempen ‘Turunkan Harga Kereta’ kerana ia merupakan cara efektif dan segera untuk menaikkan pendapatan isirumah rakyat.

Angka-angka dari pelbagai sumber termasuk Kajiselidik Pendapatan Isirumah dan Kemudahan Awam 2009 yang diterbitkan Jabatan Statistik mencatatkan beberapa fakta yang merisaukan.

Fakta menunjukkan 53 peratus daripada isirumah di Malaysia mempunyai pendapatan bawah RM3,000 sebulan dengan 71.9 peratus daripada isirumah memiliki atau menggunakan kereta;

Malahan nisbah hutang isirumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 33 peratus pada 1997 kepada 78 peratus pada 2011.

Manakala Kadar hutang isirumah kepada KDNK adalah 140 peratus pada 2011, lebih tinggi dari Singapura (105 peratus), Thailand (53 peratus) dan Indonesia (38 peratus);

“Jumlah hutang daripada kereta peribadi merupakan jumlah hutang kedua terbesar selepas rumah kediaman sebanyak RM134.2 bilion pada akhir Mei 2012; dan

“Jumlah hutang daripada kereta swasta telah meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14 peratus dalam 18 bulan, berbanding RM118 bilion pada November 2010,” ujar Nik Nazmi.

Tambah Nik Nazmi, harga kereta yang lebih rendah bermakna pinjaman kereta yang lebih rendah.

Maka rakyat tidak akan menghabiskan begitu banyak pendapatan isirumah untuk membayar pinjaman di mana sebahagian besarnya adalah cukai kerajaan.

Sebaliknya, mereka akan mempunyai pendapatan bolehguna yang lebih tinggi yang akan meningkatkan kualiti kehidupan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

“Dalam kempen Turunkan Harga Kereta ini, kami akan mengadakan forum-forum bermula September di seluruh negara.

“Kami turut bercadang menjemput MAA dan berharap mereka dapat hadir bagi berkongsi idea mereka tentang isu penting ini,” katanya.