Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah : Dunia Iktiraf Usaha Selangor Banteras Antipemerdagangan Manusia

 

SHAH ALAM 28 OGOS : Kerajaan Negeri terus konsisten dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia walaupun kuasa yang ada terbatas.

Pagi tadi bertempat di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berlangsung Perasmian Majlis Pelancaran Jawatankuasa Teknikal Antipemerdagangan Manusia Peringkat PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) Negeri Selangor oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menjadi negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Manusia peringkat negeri, Pengerusi Majlis Antipemerdangangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS), Rodziah Ismail berkata usaha Kerajaan Negeri turut diiktiraf di peringkat global.

“Sewaktu dikunjungi Mark Tailor iaitu wakil yang menyediakan laporan United States Anti Trafficking In Person (ATIP), beliau menyatakan rasa kagum atas usaha Kerajaan Negeri walaupun MAPMAS baru berusia setahun lebih penubuhan.

“Ini kerana bukan sahaja kita mempunyai jawatankuasa sendiri di peringkat negeri tetapi menghantar satu-satunya laporan dari Malaysia di peringkat dunia,” jelas Rodziah.

 

Dalam pada itu, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir menyampaikan ucapatama berkata, usaha membanteras kegiatan tidak sihat itu memerlukan komitmen politik yang komprehensif.

“Kita perlu perkenalkan gaji minima, pendidikan percuma, harga rumah berpatutan di samping mengambil kira soal keadilan dan kemanusiaan kepada golongan pekerja, bukannya mementingkan soal kroni dan keuntungan semata.

“Kita juga perlu mengamalkan prinsip Politics of Conscious supaya pemerintah peka dan peduli dengan nasib dan keadaan golongan bawahan seperti pekerja tanpa mengira bangsa dan agama atau asal usul,” tegasnya.

Sejurus selesai majlis perasmian, Menteri Besar turut menyampaikan Perlantikan Watikah Jawatankuasa Teknikal Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor kepada 12 wakil PBT seluruh negeri.

Majlis turut dihadiri barisan Ahli Majlis MAPMAS yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri iaitu Ronnie Liu, Dr Halimah Ali dan Terasa Kok.

MAPMAS dilancarkan pada 10 Januari 2011 dan ditubuhkan khas untuk menangani jenayah pemerdagangan manusia di peringkat Negeri Selangor dengan pelan tindakan yang digariskan Jawatankuasa Bertindak MAPMAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published.