Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Contoh Terbaik Negeri Sebangsa dan Sejiwa

SHAH ALAM, 30 OGOS : Setiap rakyat Malaysia berhak mendapat layanan yang adil dan sama rata dalam menikmati limpahan daripada kemajuan ekonomi serta  pembangunan negara tanpa wujud diskriminasi, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, sebagai sebuah negara yang sudah mengecapi kemerdekaan lebih 50 tahun, rakyat sewajarnya bersama-sama menikmati hasil sumber negara ini selain bebas bergerak dan bersuara.

Sehubungan itu katanya, Selangor yang kini mempunyai penduduk melebihi 5.4 juta orang wajar dijadikan contoh negeri terbaik dalam hal membentuk negara bangsa yang seia dan sekata.

“Bersesuaian dengan semangat dan tekad Pakatan Rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Pusat selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, maka Kerajaan Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah bersetuju menggunakan tema kemerdekaan yang sama iaitu sebangsa, senegara, sejiwa?.

“Tema ini wajar diperluaskan sebagai usaha menggalakkan rakyat bukan sahaja di empat negeri ini bahkan juga negeri-negeri lain di Malaysia agar bersama-sama dan sekata mewujudkan satu bangsa yang bersatu,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh empat tahun sahaja, keempat-empat negeri yang diperintah Pakatan terus menunjukkan peningkatan dari segi rizab negeri dan nilai pelaburan.

Bahkan katanya, Selangor dan Pulau Pinang misalnya menjadi dua penyumbang utama terhadap sumber pendapatan negara (KDNK) yang terbanyak, khususnya menerusi nilai pelaburan.

“Namun daripada segi keadilan sosial dan persamaan hak, tidak semua negeri dalam Malaysia mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sabah terutamanya dicatatkan sebagai negeri termiskin di Malaysia dibelakang Kelantan yang lebih maju walaupun tidak menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Kemerdekaan ke-55 dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Sambutan kemerdekaan itu dimeriahkan dengan acara perbarisan dan perarakan antaranya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba, Pejabat Daerah dan Tanah Selangor, Jabatan Kastam Selangor, Kolej Antabangsa Inpens dan lain-lain.

Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan persembahan kesenian oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan persembahan pancaragam.

Selain dihadiri barisan Exco Selangor, dianggarkan lebih 30,000 hadir memeriahkan sambutan kemerdekaan yang bertemakan “Sebangsa, Senegara, Sejiwa : Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju”.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.