Categories
NASIONAL

MB Nafi Ketepikan Sultan, Ia Cuma Amalan Biasa

SHAH ALAM 31 OGOS : Kerajaan Negeri menafikan laporan media pro Umno-BN, Utusan Malaysia yang menyatakan pentadbiran Selangor mengenepikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke -55 negara di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam tadi.

Sebaliknya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata memang menjadi amalan dan kebiasaan Sultan Selangor tidak dijemput bagi menghadiri majlis tersebut.

“Memang tiada dalam program menjemput Sultan. Memang biasa kita buat macam ini setiap tahun. Itu sahaja,” katanya kepada pihak media selepas menghadiri majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan akan kemurkaan Sultan Selangor berhubung insiden itu sambil menjelaskan perkara tersebut tidak berlaku.

“Tidak ada…..tiada ada,” ujarnya.

Sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor malam tadi bertemakan Sebangsa, Senegara, Sejiwa itu dihadiri lebih 10,000 hadirin.

Sementara itu, majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri dianjurkan Kerajaan Negeri hari ini dihadiri ramai rakyat Selangor dari pelbagai lapisan masyarakat kerana Aidilfitri masih diraikan umat Islam.

Majlis tersebut turut dihadiri Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Husin; Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Adun Negeri Selangor.

Tambahan pula hari ini adalah cuti umum sempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Hadirin tidak melepaskan peluang berbaris di sepanjang laluan dilalui Sultan Selangor untuk berjabat salam dengan Tuanku.

Ternyata majlis mesra ini mengeratkan silaturrahim antara Sultan Selangor dan barisan pembesar negeri bersama rakyat jelata.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Contoh Terbaik Negeri Sebangsa dan Sejiwa

SHAH ALAM, 30 OGOS : Setiap rakyat Malaysia berhak mendapat layanan yang adil dan sama rata dalam menikmati limpahan daripada kemajuan ekonomi serta  pembangunan negara tanpa wujud diskriminasi, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, sebagai sebuah negara yang sudah mengecapi kemerdekaan lebih 50 tahun, rakyat sewajarnya bersama-sama menikmati hasil sumber negara ini selain bebas bergerak dan bersuara.

Sehubungan itu katanya, Selangor yang kini mempunyai penduduk melebihi 5.4 juta orang wajar dijadikan contoh negeri terbaik dalam hal membentuk negara bangsa yang seia dan sekata.

“Bersesuaian dengan semangat dan tekad Pakatan Rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Pusat selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, maka Kerajaan Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah bersetuju menggunakan tema kemerdekaan yang sama iaitu sebangsa, senegara, sejiwa?.

“Tema ini wajar diperluaskan sebagai usaha menggalakkan rakyat bukan sahaja di empat negeri ini bahkan juga negeri-negeri lain di Malaysia agar bersama-sama dan sekata mewujudkan satu bangsa yang bersatu,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh empat tahun sahaja, keempat-empat negeri yang diperintah Pakatan terus menunjukkan peningkatan dari segi rizab negeri dan nilai pelaburan.

Bahkan katanya, Selangor dan Pulau Pinang misalnya menjadi dua penyumbang utama terhadap sumber pendapatan negara (KDNK) yang terbanyak, khususnya menerusi nilai pelaburan.

“Namun daripada segi keadilan sosial dan persamaan hak, tidak semua negeri dalam Malaysia mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sabah terutamanya dicatatkan sebagai negeri termiskin di Malaysia dibelakang Kelantan yang lebih maju walaupun tidak menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Kemerdekaan ke-55 dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Sambutan kemerdekaan itu dimeriahkan dengan acara perbarisan dan perarakan antaranya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba, Pejabat Daerah dan Tanah Selangor, Jabatan Kastam Selangor, Kolej Antabangsa Inpens dan lain-lain.

Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan persembahan kesenian oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan persembahan pancaragam.

Selain dihadiri barisan Exco Selangor, dianggarkan lebih 30,000 hadir memeriahkan sambutan kemerdekaan yang bertemakan “Sebangsa, Senegara, Sejiwa : Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju”.

 

Categories
NASIONAL

Satu Tema Kemerdekaan Bagi Semua Negeri Pakatan Rakyat

PETALING JAYA, 10 OGOS :Kesemua negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat menyatakan pendirian mereka untuk terus menggunakan logo dan tema yang sama pada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Kesepakatan itu diraih bersama seperti mana yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat Pusat menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

“Dalam konteks kita (Pakatan Rakyat), kita bukan sahaja menyambut Ulangtahun Hari Kemerdekaan malah turut meraikan Hari Malaysia yang akan diraikan di Semananjung, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut berhubung sambutan kedua-dua hari bersejarah itu, Mustafa menjelaskan sambutan Kemerdekaan akan diadakan di Selangor pada 30 Ogos manakala untuk sambutan Hari Malaysia pula akan disambut di Sabah pada 15 September dan Sarawak pada 16 September.

Dalam sidang media yang sama, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa menolak dakwaan kononnya Pakatan Rakyat sebelum ini berbeza pendapat apabila dilihat mengguna pelbagai tema kemerdekaan di negeri masing-masing.

“Negeri-negeri (Pakatan Rakyat) memiliki temanya sendiri, kita ada dua tema iaitu tema negeri dan tema kebangsaan.

“Tema negeri dikekalkan manakala tema pakatan rakyat (Sebangsa, Senegara, Sejiwa) digunapakai sebagai tema kebangsaan (mengantikan tema kerajaan – Janji ditepati),”ujarnya.

Pakatan Rakyat mengumumkan tema alternatif sambutan Hari Kemerdekaan “Sebangsa, Senagara, Sejiwa” sebagai menggantikan tema kerajaan menerusi slogan BN, ?Janji Ditepati?.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan logo dan tema sambutan Hari Kemerdekaan bagi Pakatan Rakyat.

Categories
NASIONAL

Tema Hari Kebangsaan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ Seru Rakyat Bersatu

SHAH ALAM 3 OGOS: Tema Hari Kebangsaan ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ yang diumumkan Pakatan Rakyat(PR) merupakan sebuah tema yang mengajak semua rakyat bersatu dalam sebuah negara merdeka.

Demikian menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.

Selain itu beliau turut menganggap pengumuman tema Hari Kebangsaan oleh PR itu sebagai satu cabaran kepada pemimpin negara yang menggunakan pendekatan kepartisan mereka.

“Bagaimana kamu katakan moto kami yang menggesa ke arah satu negara, satu jiwa sebagai memecahbelahkan?

“Ini cabaran kepada pimpinan Umno-BN untuk mempertimbangkan kembali pendekatan partisan mereka,” kata beliau.

Beliau juga berkata, bahawa beliau bersedia menasihati negeri di bawah pentadbiran PR agar menggunakan tema baru sekiranya kerajaan pusat memindanya.

Selain itu, Timbalan Presiden, Mohammad Sabu pula memberitahu TVS bahawa tema yang diumumkan oleh pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said sebagai tema yang mampu dijiwai oleh rakyat negara ini.

“Saya dapat lihat, slogan baru yang diperkenalkan ini memiliki jiwa seperti mana usia 55 tahun kemerdekaan.

“Ia gambaran jelas menunjukan kemahuan rakyat kita yang mahu kekal bersama antara satu sama lain.

“Jauh lebih baik, slogan ini tak mencerminkan kempen mana-mana parti politik,  tetapi kempen cintai negara,” ujar beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah Publisiti DAP, Tony Pua pula mengiktiraf slogan yang diperkenalkan Pakatan Rakyat itu berbanding ‘Janji Ditepati’ yang dimumkan sebelum ini.

Bagaimanapun slogan tersebut mendapat reaksi kecaman dari pelbagai pihak yang mendakwa slogan tersebut juga merupakan slogan kempen pilihan raya BN.

“Tema yang diberikan ini baru betul menggambarkan sambutan Hari Kemerdekaan.

“Tema ‘Janji Ditepati’ bermakna bukanlah sambut Hari Kebangsaan tetapi BN mahu rakyat menyambut Hari BN,” ujar Tony.