Categories
SELANGOR

Separuh Jumlah Pengundi Di Selangor Sudah Dikenalpasti

SHAH ALAM, 4 OGOS: Separuh dari 56 Kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor berjaya menyelesaikan proses mengenal pasti pengundi dalam Program Selangorku Bersih.

Ini merupakan peningkatan daripada tujuh DUN yang berjaya menyemak daftar pengundi sehingga 30 Julai lalu.

“Saya fikir dalam masa dua minggu lagi ianya akan dapat diselesaikan,” ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika meraikan petugas media dalam Majlis Berbuka Puasa Media Bersama Datuk Menteri Besar semalam.

Program Selangorku Bersih yang dilancarkan pada bulan April adalah sebuah audit terhadap daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang akan digunakan di Selangor.

Ia bagi memastikan pemilih yang berdaftar benar-benar rakyat Selangor yang bermastautin dan mempunyai hak menentukan kerajaan Selangor.

Beberapa laporan sebelum ini oleh pemimpin Pakatan Rakyat Selangor mendedahkan terdapat beribu-ribu pengundi di dalam daftar pemilih baru yang statusnya sebagai rakyat Selangor diragui.

Menurut Abdul Khalid, keputusan kaji selidik itu akan diumumkan selepas ianya siap sepenuhnya.

Abdul Khalid dalam ucapannya turut menyentuh proses audit terhadap proses kutipan hutang Talam Corporation Bhd.

“Kerja audit dah pun dimulakan oleh juru audit luar bertauliah.

“Hari ini, ada lebih kurang sepuluh orang juru audit menjalankan proses audit itu.

Kita akan umumkan bila ia selesai sepenuhnya,” ujar Abdul Khalid.

Sementara itu, majlis berbuka puasa meraikan petugas media itu dimeriahkan dengan kehadiran hampir 300 pengamal media sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Selain petugas media, beberapa pengendali blog terkenal turut mengambil bahagian dalam majlis sama.

“Peranan media memang cukup besar dan amat dihargai dalam memainkan peranan untuk menjelaskan dasar Kerajaan Negeri.

“Selain itu peranan blogger juga membantu dalam menyampaikan maklumat dengan cepat kepada masyarakat dan ini satu perkembangan baik” ujar Abdul Khalid.

Turut kelihatan dalam majlis malam itu adalah Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali.

Turut diraikan dalam majlis yang sama, penghuni Rumah Anak Yatim Taufiq Islami, Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.