Categories
SELANGOR

Selangor Sambut Baik Pusat Setuju Penstrukturan Semula Industri Air


SHAH ALAM, 9 OGOS: Selangor menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat yang bersetuju memberi hak untuk Kerajaan Negeri melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri telah lama bersedia untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memanggil semula empat pemegang konsesi bagi menyelesaikan pengambilalihan syarikat konsesi berdasarkan harga pasaran yang munasabah,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar lewat petang tadi.

Abdul Khalid turut memberitahu pemegang konsesi tersebut boleh merujuk kepada timbangtara bebas sekiranya tidak berpuas hati dengan nilai yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara tersebut,” kata beliau lagi.

Bagi mempercepatkan proses tersebut, Kerajaan Negeri turut menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan pengambilalihan tersebut selewat-lewatnya pada September 2012.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan pemajakkan aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air dapat diselesaikan serentak.

Pada masa sama juga, pemantauan ke atas Syarikat Bekalan Selangor Air Sdn Bhd (Syabas) akan diteruskan oleh Jawatankuasa Pemantauan bekalan air seperti biasa.

Semalam, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air Selangor memutuskan untuk memberi hak kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu.

Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mencapai keputusan tersebut dalam mesyuarat ke duanya pada 2 Ogos lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.