Categories
NASIONAL

ANAK Akan Dedah Siapa Faizoull Ahmad

KUALA LUMPUR 10 SEPT: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman bersedia untuk mendedahkan siapa sebenarnya Faizoull Ahmad sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk menilai semula pelantikan beliau untuk jawatan utama dalam Felda.

Kesediaan ini dinyatakan memandangkan Faizoull merupakan Timbalan Pengarah Besar Felda dan kini sedang memangku jawatan Pengarah Besar Felda melalui lantikan Mesyuarat Khas Lembaga Felda sebagai Pengarah Besar baru pada 1 September 2012.

Beliau kini memangku jawatan Pengarah Besar Felda didakwa sudah mula mengeluarkan arahan tertentu kepada pengurusan Felda sedangkan tarikh rasmi beliau menjawat jawatan tersebut berkuatkuasa pada 1 Oktober 2012.

Terdahulu, jawatan Pengarah Besar Felda disandang oleh Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan beliau kini ditugaskan ke Kementerian Asas Tani dan ditugaskan ke Rome, Itali.

“Faizuoll mula membuat arahan tertentu kepada pengurusan Felda kerana dia yakin dia Pengarah Besar Felda baru walaupun ketika ini pemangku. Saya mohon sebelum secara rasmi Faizoull menjadi Pengarah Besar pada 1 Oktober agar PM dapat teliti dan pertimbangkan agar ia tidak disahkan jawatan sebagai Pengarah Besar Felda.

“Saya sebut juga sebelum ini sekiranya usaha melantik Pengarah Besar diteruskan saya akan dedahkan bagaimana korupnya Faizoull. Kes berkaitan Faizoull Ahmad telah diajukan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohd tanggal 27 Julai lalu,” katanya.

Mazlan dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS turut menegaskan beliau mempunyai bukti lengkap berhubung kes salah laku yang melibatkan wang Felda terhadap Faizoull.

Jelasnya, kesemua bentuk korupsi yang dibuat Faizoull akan didedahkan kepada umum selepas beliau membuat laporan polis dalam masa terdekat.

“Laporan polis dibuat dalam masa terdekat dan kami akan dedah (korupsi) dalam laporan polis nanti. Tujuh aduan salah guna kuasa. Apabila saya baca dashyat betul Faizoull Ahmad. Dia mengetuai bahagian pembangunan komuniti.

“Saya sudah lama simpan (dokumen) ini namun tidak mahu dedah. Sekarang terpaksa dedah. Saya pelik kalau sudah ada aduan ke SPRM tidak mungkin dengan begitu mudah beliau dilantik menjadi Pengarah Besar.

“Aduan ini bukan dibuat oleh pihak luar sebaliknya individu dalam Felda Sendiri. Aduan ini turut disalinkan kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa,” ujar beliau lagi.

Video Berkaitan: http://www.youtube.com/watch?v=XL1anaM1D6Q

Leave a Reply

Your email address will not be published.