Categories
NASIONAL SELANGOR

Hee Loy Sian : Filem Selangor Dilanda Krisis Air MCA Didakwa Dalang

PETALING JAYA, 25 SEPT: MCA didakwa sebagai dalang disebalik penggambaran filem pendek yang merupakan sebahagian dari kempen memburukan imej Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam mengurus sumber air di negeri ini.

Demikian menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian kepada media ketika melawat kawasan penggambaran di Happy Mansion di sini semalam.

Menurut Loy Sian, beliau mengetahuinya dari sumber dalaman MCA sendiri dan juga berdasarkan penyertaaan tinggi dari kalangan pelajar sebuah Institusi Pengajian Swasta di Petaling Jaya yang dikatakan dikuasai parti itu.

Bagaimanapun menurutnya, beliau akan mendedahkan butiran lanjut apabila filem yang melibatkan kira-kira 300 pelakon itu ditayangkan kelak.

Menurut Loy Sian, beliau juga menerima beberapa panggilan dari penduduk yang tidak berpuas hati dengan tindakan mengadakan pengambaran di lokasi perumahan mereka.

“Persatuan penduduk di sini dibohong oleh produser, mereka kata nak ambil gambar untuk kempen penjimatan air, tetapi bukan.

“Ini hanya nak kritik  Kerajaan Pakatan Rakyat, jadi penduduk terkejut.

“Kalau video klip itu disiarkan ramai terkejut, penduduk tak tahu, seolah-olah dia menggunakan penduduk, tetapi matlamat sebenarnya mereka tak tahu,”  ujar Loy Sian.

Ketika ditanya tentang bekalan air dikawasan tersebut, Loy Sian menyatakan bekalan air di Happy Mansion ketika ini berjalan dengan keadaan baik.

Kenyataan beliau turut disokong oleh beberapa penduduk yang berada di situ.

Adegan Memekik Marah

Ketika penggambaran filem berdurasi 40 saat itu sedang dijalankan, wartawan TV Selangor sempat mengikuti penggambaran beberapa adengan.

Antaranya, adegan orang ramai yang sedang berbaris panjang ditengah panas terik matahari untuk mendapatkan bekalan air dari sebuah lori tangki yang disediakan.

Beberapa orang di antara mereka juga kelihatan merungut dan memekik marah kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bagi keperluan harian.

Selain itu, TV Selangor turut sempat menyaksikan satu adegan lain di tingkat satu, seorang wanita yang sedang mendukung anak sedang memarahi seorang lelaki sambil menengking “Apa minta maaf!” apabila lelaki itu cuba menjelaskan sesuatu.

Manakala dalam satu adengan lain yang juga dibuat di tingkat satu, seorang lelaki kelihatan berlari dengan sebab yang tidak diketahui.

Beberapa krew porduksi yang terlibat juga kelihatan keberatan untuk memberikan maklumat apabila ditanya.

“Saya cuma kerja sahaja bang, saya tak tahu shooting ini untuk filem apa,” kata salah seorang krew yang berada di lokasi penggambaran.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Jenny memberitahu, setiap pelakon diberikan kupon bernilai RM50 setiap seorang yang boleh ditukarkan di kaunter yang disediakan.

Beliau mengetahuinya dari seorang wanita warga Indonesia yang berkerja sebagai orang gaji di salah sebuah rumah di situ dan terlibat sebagai pelakon produksi berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.