Categories
NASIONAL

Kerajaan terima 21 cadangan Projek Kereta Nasional baharu

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kerajaan setakat ini sudah menerima 21 cadangan firma tempatan dan asing bagi projek kereta nasional ketiga berbanding 14 sebelum ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, peningkatan itu jelas membuktikan bahawa projek kereta nasional baharu itu tidak terjejas dengan keputusan firma United Kingdom, Dyson untuk membuka sebuah kilang pengeluaran kereta elektrik baharu di Singapura.

“Bagi saya, rakyat Malaysia tidak perlu bimbangkan keputusan Dyson ini kerana kita bukannya tewas dengan Singapura (dalam kes ini),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Kecemerlangan Perniagaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ong berkata kewujudan kilang kereta elektrik itu sebaliknya boleh memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Malaysia yang kini berpeluang menyertai rantaian nilai terbabit.

“Dyson memilih Singapura berikutan lokasi strategik republik itu dari segi rantaian bekalan global dan sudah pasti Johor akan menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Malah, katanya, lebih banyak berita menarik membabitkan pelaburan Dyson itu akan diumumkan oleh Menteri MITI, Datuk Darell Leiking sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke Bangkok.

Sementara itu, Ong berkata ramai penggiat industri teruja dengan Dasar Industri 4.0 yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Oktober ini.

“Ini adalah sesuatu yang diharapkan oleh penggiat industri dan mereka ingin melihat bagaimana perkara itu dapat dijanakan menerusi Bajet 2019,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Ong berkata bagi tempoh 2014-2017, produktiviti buruh Malaysia meningkat sebanyak 3.5 peratus manakala kadar penggajian turut menokok 1.5 peratus.

“Aliran yang menggalakkan ini perlu dikekalkan dengan pelbagai inisiatif yang menumpukan daya saing eksport Malaysia, menerapkan integrasi serantau, penerimagunaan teknologi baharu dan pembangunan modal insan serta kecemerlangan organisasi yang merupakan teras persiapan bagi masa depan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Proton Perlu Bersaing Selepas ‘Dilindungi’ Lebih 25 Tahun

KUALA LUMPUR 14 SEPT:  Sekarang merupakan masa terbaik kepada Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) untuk bersaing secara kompetitif dalam industri automotif global setelah  25 tahun ‘dilindungi’ kerajaan.

Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata pengenalan cukai eksais merupakan satu usaha ‘melindungi’ Proton supaya terus bertahan.

Beliau yang menyambut baik cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menurunkan harga kereta menambah dan penghapusan cukai eksais.

“Walaupun Rafizi ada menyentuh sedikit sebanyak mengenai kerajaan banyak bergantung kepada cukai eksais dan sebagainya, saya rasa sedikit sebanyak asal usul cukai eksais tidak lari dari agenda melindungi Proton.

“Mungkin sebab ada label ‘Kereta Nasional’. Dengan label ini harga kereta lain dinaikkan dan sedikit sebanyak harga Proton sedikit okey.

“Kita perlu menerangkan kepada rakyat, Proton hanyalah sebuah syarikat. Mungkin menjadi sebuah syakirat yang dimiliki Malaysia tetapi mereka menghasilkan kereta.

“Apa yang penting kita mempunyai kereta yang berkualiti tinggi. Apa ertinya mempunyai harga kereta yang rendah tetapi mempunyai kualiti yang rendah,” katanya ketika menyampaikan pandangan dalam forum “Turunkan Harga Kereta’.

Jelasnya, cadangan menurunkan harga kereta dan menghapuskan cukai yang diilhamkan oleh PR merupakan satu langkah yang baik serta tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Meskipun idea yang dibawa oleh PR dilihat sebagai suatu yang populis, kerajaan sepatutnya berperanan untuk menurunkan harga kereta dan Umno-BN sepatutnya membalas cadangan ini dengan idea yang lebih baik.

Ujar Wan Saiful, jika PR benar-benar ingin meningkatkan taraf kehidupan rakyat, mereka perlu menilai dan menyemak semula struktur cukai dalam negara secara keseluruhan.

Menurutnya, meskipun penghapuskan cukai eksais ini akan mengakibatkan negara kehilangan RM7 bilion, kerajaan sepatutnya mengurangkan perbelanjaan terutama dalam beberapa perkara yang dirasakan tidak penting bagi menjimatkan kos kewangan.

Mengambil contoh Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai katanya, perkara ini sebenarnya boleh dilakukan kerana Langkawi kini mampu melaksanakan pembangunan dengan baik.

“Kadar cukai yang rendah boleh merangsang ekonomi dan boleh membantu rakyat secara umumnya. Jika cukai ditetapkan pada kadar yang sepatutnya, ini akan meingkatkan jumlah pembayar cukai begitu juga sebaliknya.

“Untuk membangunkan pulau-pulau di negara ini seperti Langkawi adalah kerajaan mengambil langkah mengurangkan cukai,” katanya.

Forum ‘Turunkan harga Kereta’ yang berlangsung di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dihadiri hampir 50 penonton yang menyaksikan Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak sebagai moderator.