Categories
NASIONAL

Sifat Positif Anwar Wajar Dicontohi UNtuk Menang PRU13

SHAH ALAM 29 SEPT : Sosok tubuh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan resepi terbaik untuk mencetak kejayaan bagi Pakatan Rakyat(PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Perkara itu dilontarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di hadapan kira-kira 1,500 pemimpin parti di Rapat Pemimpin Nasional PKR 2012, di SACC Mall.

Saifuddin berkata ‘teruji dan tahan uji’ merupakan sifat positif beliau (Anwar) yang perlu diambil oleh semua peringkat parti.

“Saya tidak mahu mengambil pendekatan memuji, saya cuma mahu mengambil sifat positif beliau yang boleh kita contohi.

“Teruji dan tahan uji. Jika kita ambil sedikit sifat ini kita akan berjaya.

“Ada seseorang pemimpin berkata sosok tubuh Anwar mengingatkan kepada peribahasa Arab, iaitu jika mahu tahu emas yang paling tinggi mutu dan kualitinya adalah emas yang dibakar banyak kali.

“Dipenjara, dipukul, ditelanjangkan, diaibkan semua sudah, apa lagi yang tidak kena, tetapi susuk ini terus berada dibarisan paling hadapan untuk teruskan perjuangan,” katanya.

Tambahnya, sifat kedua yang perlu dicontohi ialah cara kerja luar biasa dan disiplin terhadap tugasnya.

Sehubungan itu, pemimpin di semua peringkat juga perlu mengambil iktibar dari kisah Nabi Ibrahim A.S yang melawan rajanya yang zalim.

“Dalam pada itu, kita perlu menjadi ‘burung pipit’, yang berusaha untuk memadam api ketika Nabi Ibrahim dibakar. Begitu juga kita, ‘burung pipit’ perlu melawan kezaliman, kekejaman Umno-BN,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saifuddin turut menceritakan pertanyaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Anwar di parlimen semalam.

“Anwar ditanya, mana datang kekuatan kamu? aku ke Sabah, kamu ke Sabah, aku ke Johor kamu di Sabah, aku ke Penang kamu ke Sarawak, aku balik ke Kuala Lumpur kamu ke Johor pula.

“Anwar menjawab, kekuatan aku datang kerana aku nak lawan kamu yang zalim dan khianat, menyeleweng hak rakyat.. Itulah datang kekuatan aku.

“Adanya kamu, adanya parti macam kamu, ada kerajaan macam kamu, harta negara kamu rompak, ketidak adilan terhadap rakyat, institusi demokrasi kamu hancurkan, tidak pernah hormati tapi kamu terus angkuh sombong, tidak pernah mengiktiraf kebijaksanaan rakyat, kamu fikir rakyat boleh diberi dan terus diberi.

“Kesombongan itu adalah kekuatan kepada aku untuk berada di semua tempat itu untuk lawan dan tetap lawan,” cerita Saifuddin.

Leave a Reply

Your email address will not be published.