Categories
NASIONAL SELANGOR

Tawaran Kepada Pembeli Blok E PJS1 Sudah Dibuat

SHAH ALAM, 5 SEPTEMBER : Kerajaan Negeri menjelaskan tawaran penyelesaian pemilikan rumah kos rendah telah dibuat kepada pembeli rumah Blok E PJS1 dalam pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 21 Julai lalu.

Sehubungan itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setingan, Iskandar Abdul Samad menafikan dakwaan Jawatankuasa Bertindak Pembeli-Pembeli Blok E PJS1 yang mengatakan Kerajaan Negeri belum memaklumkan kepada pembeli mengenai perkara itu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu Kerajaan Negeri memberikan penerangan dengan terang dan jelas malah semua pembeli diberi peluang secukupnya untuk berdialog dengan Menteri Besar.

“Sejak pertemuan tersebut Jawatankuasa Task Force yang dibentuk mengendalikan masalah ini bermesyuarat sebanyak dua kali iaitu satu mesyuarat ‘pre-council’ dan satu mesyuarat penuh. Ini tidak termasuk perbincangan tidak rasmi yang turut dilakukan.

“Perlu dijelaskan bahawa jawatankuasa bertindak pembeli-pembeli bukan ahli Jawatankuasa Task Force. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada wakil Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan; Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, dakwaan penduduk tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat diadakan adalah tidak benar kerana wakil persatuan penduduk dari masa ke semasa sentiasa berhubung dengan pihak Exco berkaitan.

Selain itu, Iskandar berkata pihaknya juga menerima surat daripada pembeli yang mendakwa mereka sebagai Persatuan Kebajikan Pembeli-Pembeli Blok E PJS1 yang mewakili 92 daripada 262 pembeli berdasarkan bilangan pembeli yang bersetuju untuk menerima tawaran rumah kos rendah Kerajaan Negeri di Lembah Subang 2.

“Menurut mereka persatuan penduduk hanya mewakili 112 pembeli berdasarkan bilangan pembeli yang bersetuju dengan cadangan meneruskan pembinaan Blok E. LPHS dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya diarah untuk menyiasat dakwaan ini,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.