Categories
NASIONAL

Belanjawan PR Tumpu Tingkat Pendapatan Boleh Guna Keluarga

SHAH ALAM, 11 OKT: Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat (PR) bukan sahaja mencerminkan usaha pakatan itu untuk menurunkan defisit perbelanjaan negara, malah turut menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan boleh guna keluarga di negara ini.

Antara cadangan yang dibawa dalam Belanjawan 2013 PR bagi mencapai matlamat itu, termasuklah cadangan menurunkan harga kereta, meningkatkan program rumah mampu milik dan membebaskan pasaran dari sistem monopoli yang ada sekarang.

Rancangan PR menurunkan harga kereta dibuat menerusi makanisme menurunkan cukai eksais secara berperingkat dengan permulaan pemotongan sebanyak 20 peratus.

Manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula akan menumpukan program pembinaan rumah mampu milik dan bukannya bersaing dengan pemaju swasta membina rumah-rumah mewah.

Demikian menurut MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam Wacana Sinar siri ke-14 yang membincangkan Bajet 2013 di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf malam tadi.

Tony Pua juga berkata, sistem monopoli yang diamalkan oleh kerajaan sekarang menjadi penghalang kepada pasaran terbuka, menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan.

Ini termasuk bahan binaan di negara ini sekaligus melonjakkan harga rumah.

“Bukan sahaja pasaran besi keluli dan simen sahaja, tetapi juga dengan pasaran beras, gula, minyak dan lain-lain.

?Dengan itu kita dapat merendahkan kos sara hidup rakyat dan meningkatkan daya saing syarikat-syarikat di Malaysia,” kata Tony Pua yang juga merupakan Setiausaha Publisiti DAP itu.

Sementara itu, Tony Pua turut meletakan sasaran sekurang-kurangnya tiga tahun bagi membolehkan satu belanjawan berimbang dapat dibentangkan sekiranya PR diberi peluang menerajui pentadbiran negara.

Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat baru-baru ini merupakan belanjawan defisit buat kali ke-16 berturut-turut.

Belanjawan berimbang terakhir yang dibentangkan adalah pada tahun terakhir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Menteri Kewangan negara pada 1998.

Selain Tony Pua, panelis lain yang turut ditampilkan dalam wacana itu Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.