Categories
NASIONAL

Beri Lesen Penerbangan Malindo Airways Tindakan Najib Diragui

KUALA LUMPUR 10 OKT : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganugerahkan lesen penerbangan baru kepada Malindo Airways amat diragui, dakwa DAP.

Dalam satu sidang media, Setiausaha Publisiti DAP Pusat, Tony Pua berkata, asas penggabungan Malindo tidak meyakinkan dari segi rekod kewangan dan keselamatan.

Sebelum ini, Najib mendedahkan penerbangan tersebut merupakan hasil gabungan antara National Aerospace and Defense Industries Sdn Bhd (Nadi) dan PT Lion Group daripada Indonesia.

“Mengikut rekod, Nadi tidak menghantar laporan audit sejak bulan Disember 2007 dan atas alasan ini sahaja sepatutnya lesen penerbangan tidak patut diberi.

“Memandangkan Nadi tiada sebarang pengalaman mengendalikan penerbangan, pasti tugas tersebut akan diberi pada PT Lion Group yang mengendalikan Lion Mentari Air di Indonesia.

“Malangnya, PT Lion Group mempunyai trek rekod keselamatan yang buruk sehingga disenarai hitam dari melakukan penerbangan di Kesatuan Eropah,” tegas Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

PT Lion Group juga mempunyai pelbagai masalah dengan Kerajaan Indonesia sebelum ini.

Antara lain, Lion Air juga pernah dibekukan Kementerian Pengangkutan Indonesia kerana sebahagian juruterbang dan krewnya didapati bersalah menggunakan dadah jenis crystal methaphetamine.

Sehubungan itu, DAP menggesa Najib tampil mendedahkan bukti dan asas kukuh penganugerahan lesen penerbangan kepada Malindo Airways.

“Kita perlu tahu kebolehannya dari segi kewangan dan keupayaan mengendalikan penerbangan dengan selamat kerana ia melibatkan keselamatan para penumpang,” tambahnya lagi.

Najib pada September lalu mengumumkan hasrat Kerajaan Pusat untuk mewujudkan syarikat penerbangan kos rendah terbaru dikenali dengan nama Malindo Airways yang dijangka memulakan operasi pada bulan Mei tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.