Categories
SELANGOR

Fiesta Jalanan Selangor Tarik Perhatian Anak Muda

KLANG, 14 OKT: Fiesta Jalanan Selangor Daerah Klang Dan Fiesta Teater Selangor yang dianjurkan Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Klang berjaya menarik perhatian anak-anak muda daerah tersebut.

Dianggarkan lebih separuh penyertaan dalam acara-acara yang dianjurkan selama sehari tersebut melibatkan golongan belia di bawah umur 40 tahun.

Dalam program yang diadakan di Dataran Seni Klang itu, pelbagai acara diadakan termasuklah persembahan teater, bacaan puisi, tarian tradisional, gamelan, muzik asli dan lain-lain.

Selain itu pelbagai pertandingan yang mampu menarik penyertaan golongan anak muda seperti pertandingan kompang, congkak, batu seremban, galah panjang, dam harimau dan memasak turut diadakan.

Pertandingan karaoke yang dikhususkan bagi golongan 40 tahun ke atas turut diadakan pada sebelah petangnya pula.

Beberapa pengunjung dan perserta yang ditemui di tapak fiesta tersebut memberitahu TV Selangor, program seperti ini haruslah diteruskan lagi pada masa hadapan.

“Program seperti ini memang bagus sebab memberi peluang anak-anak muda mengenali budaya tempatan seperti alat muzik dan permainan tradisional yang kadang-kadang tidak semua kita tahu,” kata Nurain Kamil, 19 tahun.

Nurkamila, 16 tahun yang juga adik kepada Nurain pula memberitahu program seperti ini mampu menghidupkan kembali permainan tradisional yang semakin dilupai oleh generasi muda hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Pinang Bandar, Hamdan Yusuf mencadangkan agar pihak penganjur membuat promosi secara besar-besaran di masa akan datang.

“Program ini memang bagus, kita boleh kenal kebudayaan sendiri contohnya seperti permainan dam ular yang saya rasa ramai tak tahu.

“Ia harus diteruskan lagi dengan promosi lebih besar lagi supaya mampu menarik lebih banyak penyertaan dan kunjungan orang ramai,” ujar Hamdan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.