Categories
SELANGOR

Khalid Samad : Siasat Bina Pusat Hiburan Tanpa Kelulusan MBSA

SHAH ALAM, 13 OKT : Sebuah syarikat pemaju didakwa merancang membina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif di kawasan Padang Jawa di sini biarpun belum mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad berkata, rancangan tersebut juga mendapat tentangan daripada penduduk di Kampung Padang Jawa Petaling dan Kampung Padang Jawa Klang.

Mereka bimbang kedua-dua pusat hiburan itu akan menyebabkan berlakunya aktiviti kurang sopan.

“Apabila kita rujuk kepada Ahli Majlis MBSA didapati bahawa kelulusan untuk pembinaan kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif ini daripada pihak perlesenan MBSA belum lagi dikemukakan.

Bukan sekadar belum diluluskan tetapi juga belum dikemukakan.

“Apa yang dikemukakan dan diluluskan ialah perancangan pembangunan untuk membina bangunan tetapi penggunaannya sebagai pusat hiburan itu belum dimohon tetapi telah diiklankan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail.

Menurutnya, syarikat pemaju tersebut dimiliki oleh seorang pemimpin BN di Selangor.

“Keberaniannya untuk mengiklankan sesuatu yang belum lagi dipohon dan diluluskan mungkin adalah hasil daripada sikap yang diperolehi semasa BN mentadbir negeri Selangor,” katanya.

Dilapurkan, pembinaan kedua-dua pusat hiburan itu dirancang syarikat pemaju dikenali IRDK Land di kawasan persimpangan lampu isyarat di Padang Jawa bagi projek pembangunan fasa kedua.

Leave a Reply

Your email address will not be published.