Categories
SELANGOR

Lawatan Kapal Perang USS George Washington Mencurigakan

KUALA LUMPUR 11 OKT : Kemasukkan kapal perang berkuasa nuklear Amerika Syarikat yang berlabuh di Pelabuhan Klang dan Teluk Sepanggar, Sabah dilihat bercanggah dengan Dasar Luar Negara yang mahu menjadikan negara sebagai Zon Bebas Nuklear.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata Kerajaan Pusat sepatutnya mengambil kira dasar itu dan negara Asean yang lain yang mahukan keamanan.

Katanya, Kerajaan Pusat seharusnya memahami bahawa senjata nuklear bukannya bersifat pertahanan tetapi lebih kepada provokatif.

“Kita percaya kebanyakkan negara lain juga tidak membenarkan kapal-kapal ini membuat lawatan di negara mereka.

“Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menandatangani dokumen sulit dengan Amerika Syarikat yang membenarkan penggunaan fasiliti pertahanan di akses kepada tentera mereka.

“Kerajaan secara terbuka mahu untuk bekerjasama dengan mereka (Amerika Syarikat).

“Kami kesal dan membantah sekeras-kerasnya. Kita juga merayu kepada kerajaan supaya menjelaskan pendirian dan menyatakan tujuan apa mereka datang melawat,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata kemasukkan kapal terbabit seolah-olah memantau negara.

Johari menambah pihaknya tidak mahu Malaysia dijadikan tempat untuk melancarkan peperangan.

“Kita sedar mereka ini lebih berminat untuk meneroka di kawasan-kawasan teluk. Jadi kita tidak mahu menjadi sebahagian pengkalan mereka, ini bertentangan dengan pendirian diplomatik negara,” katanya.

Sebelum itu, MP Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar mengusulkan kepada Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara itu bagaimanapun Timbalan Speaker, menangguhkan perbincangan itu kerana dianggap tidak penting.

Persinggahan lima hari kapal induk pesawat udara berkuasa nuklear USS George Washington bermula 7 Oktober hingga 11 Oktober yang dilaporkan untuk “mempromosi kerjasama dan hubungan dua hala antara AS dan Malaysia”.

Baru-baru ini, satu majlis bersama lebih 500 orang kenamaan Malaysia akan diraikan di atas kapal USS George Washington itu.

Laporan itu juga menyebut, kapal perang tersebut dijadual menganjurkan 11 lawatan untuk ahli perniagaan Malaysia dan pegawai tentera.

Kapal tersebut memuatkan pasukan pesawat udara Carrier Air Wing 5 yang disifatkan sebagai “pasukan siap sedia untuk bertindak yang melindungi dan mempertahankan kepentingan maritim AS dan sekutunya di rantau Asia Pasifik”.

Leave a Reply

Your email address will not be published.