Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ Beri Insentif RM 100 Untuk Tangkap Penampal Iklan Haram

PETALING JAYA 3 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan insentif RM 100 bagi maklumat awam yang boleh membawa kepada penangkapan mana-mana individu atau syarikat yang menampal iklan tanpa kelulusan.

Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ, Fauzi Maarop, insentif tersebut merupakan sebahagian daripada kempen ‘OPS BURU’ yang dilancarkan pada Ogos lalu.

Orang ramai boleh menghubungi talian hotline MBPJ di talian 03-79542020 yang beroperasi 24 jam sehari untuk menyalurkan aduan mereka.

“Pihak MBPJ akan bertindak serta merta dan sekiranya pesalah berjaya tertangkap, mereka yang memberi maklumat akan kita beri wang saguhati bernilai RM 100,” jelas beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat MBPJ pagi ini.

Statistik tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik iklan tanpa permit sejak OPS BURU dilancarkan menyaksikan 52 operasi berjaya dilakukan sehingga 30 September lalu.

Dalam tempoh tersebut, seramai lapan orang telah ditangkap kerana menampal iklan haram. Mereka dikenakan denda maksimum sebanyak RM 1,000.

Manakala 70 premis dikenakan kompaun dan lima sitaan terhadap peralatan seks dilakukan.

Sepanjang Januari hingga September 2012, MBPJ berjaya menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap 100,160 jenis kesalahan papan iklan.

MBPJ turut menjalankan risikan dan sisatan bagi memerangi iklan-iklan penjualan ubat kuat, peralatan seks serta pinjaman ‘along’ yang semakin berleluasa.

MBPJ turut bertindak menghantar laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan pemotongan talian ke atas 70 talian telefon yang terdapat pada iklan bermotifkan seks.

Leave a Reply

Your email address will not be published.