Categories
NASIONAL

Noh Omar Akui Kelemahan Kementeriannya

 

KUALA LUMPUR 17 OKT : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini mengakui kelemahan pihaknya dalam pengagihan subsidi beras kepada syarikat-syarikat yang mendapat kouta.

Dalam sesi penggulungan bagi kementerian pertaniannya di Dewan Rakyat, beliau berkata pihaknya kini dalam proses membuat kajian dan mencari mekanisma baru.

“Kita sedang mencari kaedah baru yang lebih memberi manfaat,” katanya.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah penggulungan itu meminta Noh menyenaraikan nama-nama syarikat yang mendapat subsidi beras dari kerajaan.

Mahfuz berkata seharusnya Kerajaan Pusat mengkaji semula pemberian subsidi beras yang dilihat lebih menguntungkan syarikat pemborong berbanding rakyat kebanyakan.

Malah jelasnya, penyelewengan pemberian subsidi beras bukan perkara baru dan meminta kerajaan mengambil tindakan ke atas mereka yang mendapat kuota kemudian menjual semula subsidi itu.

“Saya pernah sebut sebelum ini, kerajaan kena kaji semula. Kenapa tidak beri subsidi lima peratus, semua orang dapat beli tidak ada lagi syarikat yang akan ambil keuntungan,” katanya.

Menjawab permintaan Mahfuz itu, Noh berkata pihaknya bersedia memberikan senarai lebih 30 syarikat yang terlibat itu.

“Saya boleh bagi senarai syarikat itu, tapi Yb (Pokok Sena) berjanji dengan saya akan bagi tahu syarikat mana yang tidak layak menerima kuota itu.

“Saya lagi suka. Saya minta Yb Pokok Sena tolong kita,” kata Noh.

Tahun ini kerajaan memperuntukan sebanyak RM 528 juta subsidi beras dan penggunaan beras sebanyak 180,000 tan metrik di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published.