Categories
NASIONAL

P.Pinang Sedia Tangani Formula 3-3-3-1 BN

PULAU PINANG, 1 OKT: Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dan melihat kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung formula 3-3-3-1 sebagai serius dan memerlukan tindakan serta merta.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalan satu kenyataan media berkata formula setiap tiga kerusi untuk Umno,MCA, Gerakan dan satu kerusi untuk MIC itu harus di lihat sebagai suatu ancaman kepada PR.

Katanya usaha BN untuk memenangi 21 dari 40 kerusi Dun boleh menjadi realiti disebabkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan media perdana yang sememangnya bertindak menjadi ‘Pak Turut’ kepada BN.

“Tindakan BN menggunakan SPR untuk kepentingan politik mereka terjaga dengan baik sehinggalah terdapat pendedahan terkini bahawa ada pegawai tinggi di dalam SPR merupakan ahli Umno.

“Kawalan BN ke atas media telah menyebabkan bukan sahaja kejayaan-kejayaan pentadbiran PR tidak ditonjolkan, malah serangan-serangan peribadi berterusan ke atas pemimpin PR Pulau Pinang berdasarkan sikap perkauman, pembohongan tentang rasuah dan salah laku seksual.

“Lebih teruk lagi apabila media perdana mengulang-ulang penipuan yang memualkan walaupun dibuat oleh orang-orang bawahan BN malah mereka mendapat lebih liputan berbanding Ketua Menteri.

“Liputan yang terhad diberikan kepada jawapan balas daripada PR atau kadangkala tidak disiarkan langsung. Jelas Umno percaya kepada seni tipu daya kerana kebenaran hanya akan diketahui selepas PRU, tetapi telah terlambat dan penipu-penipu BN hanya perlu membayar ganti rugi fitnah RM 200,000 di mahkamah.” jelas Lim.

Katanya, Umno juga berkeyakinan setelah merasakan sikap cepat berpuas hati di kalangan PR. Sudah tiba masanya PR memandang serius ancaman 3-3-3-1 BN. Dalam hal ini mungkin Umno benar memandangkan PR Pulau Pinang belum berada dalam mod penuh pilihan raya.

“Saya akan meminta semua parti PR untuk menghantar laporan penuh persediaan pilihan raya mereka dan bersiap sedia untuk kemungkinan pilihan raya pada November. Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan besar akan memanggil pilihan raya tahun depan.” kata beliau lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published.