Categories
SELANGOR

PKNS : RMM Akan Berteraskan Konsep KASIH

SHAH ALAM, 2 OKT : Rumah mampu milik yang sedang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan berteraskan konsep KASIH yang akan mengandungi elemen komuniti yang lestari di dalam setiap kawasan perumahan.

Pengurus Besar PKNS, Othman Omar berkata, konsep KASIH akan dilaksanakan di dalam pembangunan 12,242 unit rumah mampu milik (RMM) di Selangor yang harganya di bawah RM 150,000.

“Ia akan dilengkapi dengan pusat tuisyen komuniti, pusat jagaan kanak-kanak dan kemudahan lain untuk awam.

“Selain itu ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan bagi orang kelainan upaya (OKU) serta warga emas yang akan diberi lot rumah di tingkat bawah dengan kawasan khas untuk melakukan aktiviti riadah,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Konsep tersebut bermaksud Kehidupan Aman Selesa Indah dan Harmoni (Kasih).

Menurutnya, pelaksanaan projek perumahan itu akan meliputi jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.1 bilion yang ditanggung sepenuhnya PKNS.

Othman berkata, PKNS mula merancang membina perumahan mampu milik itu sejak 2009 di mana projek pertama sedang giat dibangunkan di Seksyen Tiga, Bangi melibatkan 124 unit yang dijangka siap pada Februari tahun depan.

Dalam lima tahun, RMM akan siap dibina di Bandar Baru Bangi, Antara Gapi, Kota Puteri, Gombak, Seksyen U12, Taman Sains Selangor II dan Bandar Baru Sultan Suleiman.

“Setiap unit rumah akan dijual pada harga antara RM85,000 hingga RM150,000 menurut garis panduan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS),” katanya.

Sehingga kini, tambahnya, anak syarikat Kerajaan Negeri itu telah membina 124,515 unit rumah terdiri daripada kos rendah, sederhana dan tinggi.

Sebanyak 53,826 adalah unit kos rendah (43 peratus), 59,641 unit kos sederhana (48 peratus) dan 11,048 unit kos tinggi (sembilan peratus).

Leave a Reply

Your email address will not be published.