Categories
SELANGOR

Pengendali Projek Lebuhraya Diberi Tempoh 24 Jam Bersihkan Longkang

PANDAN,4 OKT : Pihak pengendali projek Lebuhraya Besraya, IJM Corporation Berhad digesa menyelenggara saluran longkang berhampiran Taman Pandan Jaya 3 ekoran aduan penduduk bahawa ia menyebabkan banjir kilat.

Malah sejak projek itu berjalan penduduk mengadu berkenaan masalah bau busuk yang mengganggu keselesaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pihak terbabit diberi tempoh dalam masa 24 jam untuk membersihkan longkang itu.

Ia untuk memastikan tidak berlaku masalah banjir kilat berulang dan air dapat mengalir mengikut saluran yang betul.

“Jalan di kawasan ini juga sepatutnya dibina mempunyai dua jalan, sepatutnya pihak IJM Corporation Berhad melaksanakan kerja-kerja ini dan perlu membuat kerja-kerja pembinaan lebuhraya di tengah-tengah yang tidak mengganggu aliran trafik.

“Kerja-kerja ini perlu siap dalam tempoh dua bulan, tapi saya melihat tempat ini tidak terurus khususnya aliran air yang tidak mengalir baik di mana penuh sampah termasuk ada bangkai kucing mati,” kata Iskandar semasa sidang media selepas melawat tapak kawasan itu.

Ujar beliau yang juga Adun Chempaka berkata, pihak IJM Corporation Berhad perlu menyegerakan masalah air bertakung yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes.

Semasa tinjauan, Iskandar bersama pihak kontraktor, penduduk dan media mendapati longkang itu dipenuhi sampah dan menyebabkan airnya berbau busuk.

Malahan penduduk memaklumkan terdapat tiga kejadian kes demam denggi di kawasan itu yang didakwa berpunca air longkang yang bertakung.

Menurut Pengerusi Surau Al-Falah, Mansor Mohd Nasir berkata, mengharapkan pihak terbabit mengambil segera tindakan.

Ujarnya, pihak kontraktor lebuhraya perlu memastikan langkah-langkah keselamatan kepada penduduk yang mahu keluar-masuk menggunakan jalan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.