Categories
NASIONAL

Pimpinan Dan Ahli PAS Diseru Tidak Keluar Kenyataan Berbaur Emosi

SHAH ALAM 23 OKT : Semua pimpinan dan ahli PAS diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur emosi semasa menjawab pelbagai isu yang bermotifkan provokatif daripada Umno-BN dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

Demikian saranan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada TV Selangor.

Beliau berkata, meskipun PAS menerima serangan bertubi-tubi daripada pihak berkenaan, namun PAS perlu menjaga etika dalam membalas kenyataan itu.

Menurutnya, tujuan serangan itu adalah untuk mengharapkan PAS memberi reaksi yang salah supaya rakyat mendapat persepsi yang menyimpang.

“Tetapi mereka silap. Ahli dan pemimpin PAS ditarbiah untuk menjaga etika sepanjang masa walaupun serangan itu berjenis menyinggung emosi.

“Tidak perlu untuk mengulangi di sini apa yang diserang Umno-MCA-Perkasa termasuk kesanggupan mereka membiarkan agama Islam dipersendakan,” katanya.

Jelasnya, kenyataan pimpinan MCA yang dikeluarkan sebelum ini menggambarkan kejahilan mereka terhadap Islam khususnya hukum hudud dan membuktikan kegagalan Umno memberi kefahaman tentang Islam.

Tegasnya, MCA perlu diajar untuk menghormati budaya dan agama lain serta memahami sensitiviti umat Islam.

“Islam mengajar kita agar menjawab hujah dengan hujah bukan emosi amarah yang tidak terbendung. Seluruh pimpinan dan ahli PAS ditarbiah untuk beristiqamah dalam perjuangan. Respon dengan berhemah dan tertib. Kita menjawab isu dengan hujah.

“Dengan ini, muka-muka hipokrit Umno dan Perkasa akan terlondeh sendirinya untuk dililhat rakyat. PAS mengingatkan semua tentang operasi Lalang yang dicetuskan oleh MCA dan Umno. Namun yang ditahan ialah pimpinan PAS dan DAP,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.