Categories
NASIONAL SELANGOR

Kelulusan PBT Perlu Untuk Bantu Institusi Agama Bukan Islam

SHAH ALAM 30 NOV: Kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperlukan Kerajaan Negeri jika mahu memberikan sebarang sumbangan atau peruntukan kepada semua institusi keagamaan bukan Islam di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, Kerajaan Negeri hanya memberikan sumbangan kepada institusi keagamaan yang berdaftar kerana setiap program dan aktiviti yang dijalankan boleh dipantau secara menyeluruh.

Katanya, sehingga Disember 2011, sebanyak 2008 buah premis dan institusi keagamaan bukan Islam beroperasi tanpa kelulusan daripada PBT.

Ronnie menjelaskan, hal ini berlaku kerana sebelum tahun 2008, permohonan untuk mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Negeri adalah sukar dan ini menyebabkan kebanyakan daripada pemohon mengambil risiko membinanya juga.

“Sebelum 2008, sebanyak 790 buah institusi keagamaan bukan Islam wujud dan Kerajaan Negeri terdahulu memberi peluang kepada mereka yang terlibat untuk mencari tapak baru sebelum disingkirkan,” katanya yang merupakan Adun Pandamaran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Lee Kim Sin (PKR-Kajang) ketika sesi sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, Ronnie berkata, sehingga lima tahun pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, sebanyak 239 bidang tanah diluluskan bagi pembinaan institusi berkenaan.

“Kerajaan Negeri tidak menghalang namun biarlah ia dibina pada ditempat yang sesuai,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.