Categories
SELANGOR

Kuasa Selangor Terhad, Kerajaan Pusat Sepatutnya Lebih Tegas Banteras Judi

SHAH ALAM 29 NOV : Agensi Kerajaan Pusat disarankan supaya mengambil tindakan yang lebih tegas bagi memerangi pusat judi haram dengan memotong talian internet dan telefon premis-premis yang menjadi pusat aktitivit tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu berkata kuasa lebih menyeluruh untuk mengambil tindakan terhadap premis-premis perjudian ini dimiliki Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepatutnya boleh mengambil tindakan memotong perkhidmatan internet dan talian telefon premis-premis judi.

“Tanpa kedua-dua perkhidmatan ini, mereka (premis judi haram) pasti tidak dapat beroperasi lagi,” jelasnya.

Ronnie berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Kota Damansara, Dr. Mohd Nasir Hashim pagi tadi di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mohd Nasir mendakwa pusat-pusat judi terus membuka operasi baru di kawasan Kota Damansara walaupun premis mereka diserbu dan sita oleh penguatkuasa tempatan.

Ronnie menjelaskan bahawa kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri adalah terhad dalam usaha menghapuskan kewujudan premis perjudian haram.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Kerajaan Pusat bertindak lebih tegas dalam menangani permasalahan ini.

“Malangnya, kita dapat lihat keadaan ini terus berlanjutan kerana kuasa PBT terhad, yang berkuasa pula lambat mengambil tindakan,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.