Categories
SELANGOR

Pusat Gagal Respon, Kerajaan Negeri Guna Rizab Simpanan Selesai Masalah Banjir

SHAH ALAM, 27 NOV : Tiada jawapan daripada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah banjir menyebabkan Kerajaan Negeri menggunakan rizab simpanan bagi menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memberi perincian perbelanjaan untuk diteliti sekiranya benar Kerajaan Pusat memperuntukkan sejumlah dana berhubung penyelesaian masalah banjir di negeri ini.

Bagaimanapun sehingga hari ini, tiada respon diberikan kepada Kerajaan Negeri berhubung perkara tersebut.

“Saya tidak menyangka Kerajaan Pusat boleh berubah kulit kerana dalam perbicangan di Parlimen beberapa bulan lalu, Kerajaan Pusat mengatakan mereka memberi peruntukan melebihi RM40 bilion kepada Negeri Selangor untuk mengatasi masalah banjir.

“Saya menulis surat kepada Perdana Menteri tentang perincian pemberian itu supaya saya sendiri dapat kaji dan kenal pasti mana pembangunan yang dibuat. Malangnya kerana kesibukan, soalan itu tidak dijawab dan menyebabkan saya terpaksa menggunakan rizab negeri,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) berhubung peruntukan Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir di Selangor sewaktu perbahasan Belanjawan 2013 Peringkat Jawatankuasa.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan akan memperuntukkan RM50 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukkan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Kerajaan Negeri bersedia berbuat demikian memandangkan rizab simpanan negeri meningkat sehingga RM2.5 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published.