Categories
NASIONAL

Rodziah: 20 peratus Ibu Tunggal keluar Daripada Paras Kemiskinan

 

SHAH ALAM, 22 NOV : Sasaran 20 peratus ibu tunggal keluar daripada paras kemiskinan seperti yang disasarkan dua tahun lepas berjaya dilakukan di Selangor.

Angka ini menafikan bahawa Kerajaan Negeri meminggirkan golongan ibu tunggal seperti yang didakwa Umno-BN.

Exco Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, tindakan secara menyeluruh dibuat dan setakat ini seramai 27,320 orang ibu tunggal didaftarkan di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, hampir 11 program yang mempunyai kaitan berhubung bantuan ekonomi ibu tunggal dilaksanakan termasuk penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Sebenarnya isu berkaitan menifesto ini telahpun kita tangani iaitu elaun kepada ibu tunggal tetapi elaun itu bukanlah khusus dalam bentuk bulanan secara terus kepada beliau tetapi dalam bentuk program bulanan khusus.

“Malah program yang kita buat jauh lebih besar dan banyak,” katanya dalam satu sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor.

Antara program untuk kepentingan ekonomi ibu tunggal yang dilaksanakan adalah Program Pemberdayaan Wanita menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB), Skim Mikrokredit Bandar dan Luar Bandar (MiMIBAR dan SkimSel), Progran Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor dan Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA).

Selain itu, program Skim Bantuan Tadika (TUNAS), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKEMBAR) dan Laman Dapur.

Berhubung satu demonstrasi daripada ibu tunggal Selangor yang bakal diadakan esok, Rodziah menyatakan kesudian untuk menerima memorandum berkenaan.

Ujar beliau lagi, sekiranya ada ibu tunggal yang terlepas mahupun belum berdaftar dengan Kerajan Negeri, mereka masih berpeluang untuk berbuat demikian.

“Saya mengalu-alukan dan akan menerima memorandum tersebut. Tetapi dalam masa yang sama ada ketelusan tolong sampaikan senarai mana-mana ibu tunggal yang belum menerima bantuan ini untuk saya tangani secara baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.