Categories
SELANGOR

Ronnie : Tingkat Kualiti Kutipan Sampah

SHAH ALAM 22 NOV : Bagi menguruskan jumlah sampah yang meningkat di Selangor, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) akan mempertingkatkan kualiti kutipan sampah.

Perkara ini dikatakan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu apabila menjawab pertanyaan Adun Rawang, Gan Pei Nei berkenaan isu sampah di Selangor.

Setakat ini, jumlah kutipan sampah dan sisa pepejal di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencatatkan peningkatan setiap tahun.

Jumlah kutipan sampah dan sisa pepejal, bagi tahun 2012 sebanyak 4,330 tan metrik sehari berbanding 4,220 bagi tahun 2011, 4,180 pada 2010 ; 4,150 pada 2009 ; 4,140 pada 2008 dan 4,080 pada 2007.

Oleh itu, Kerajaan negeri menubuhkan ‘task force’ bagi memantau operasi kutipan sampah mengikut jadual.

Katanya, ia termasuk perjumpaan secara terus dengan pihak kontraktor bagi mengetahui masalah yang dihadapi oleh kontraktor kerja.

Selain itu, PBT juga sudah mengkaji pengezonan semula agar dengan ruang lingkup kerja yang lebih kecil dapat membolehkan waktu maklum balas dipercepatkan dan membolehkan mutu perkhidmatan dipertingkatkan demi kebersihan awam.

Statistik mengikut pecahan PBT mencatatkan Majlis Perbandaran Klang sebagai PBT tertinggi melalui kutipan sampah iaitu sebanyak 600 tan metrik sehari dan diikuti Majlis Perbandaran Subang Jaya sebanyak 550 tan metrik sehari.

“Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius bagi memastikan pembuangan sampah berkurangan dan dapat mewujudkan alam sekitar yang bersih dan hijau.

“Antaranya kita melakukan pelbagai program antaranya ialah ‘Kempen Kitar Semula’ bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri bercadang menambah bilangan hari tanpa plastik kepada dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.