Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tugas Saya Bantu Golongan Miskin

SHAH ALAM 22 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menumpukan usaha bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin di negeri ini.

Sehubungan itu, dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) lebih menumpukan kepada golongan yang berpendapatan RM1,000 ke bawah supaya setiap rakyat di negeri ini dapat menikmati pembangunan yang dijalankan.

“Perjuangan saya dalam reformasi adalah membantu golongan miskin..tak payah saya tolong orang kaya.

“Itu sebab dalam MES, saya menentukan tujuan kita adalah berpendapatan RM1,000 ke bawah dan kalau kita berjaya dalam usaha pembangunan ini, tidak ada golongan yang berpendapatan kurang RM2,500 bagi pendapatan seisi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai inisiatif Kerajaan Negeri membantu golongan miskin daripada Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Abdul Khalid berkata, setiap belanjawan yang dirancang Kerajaan Negeri ini bertujuan meningkatkan ekonomi golongan sederhana dan rendah supaya ia menjadi penentu kejayaan pentadbiran di Selangor.

“Tujuan merancang belanjawan ini adalah menentukan pentadbiran Selangor berjaya meningkatkan golongan berpendapatan sederhana yang ramai memiliki pendapatan kurang RM2,500,” katanya yang juga Adun Ijok.

Selain itu, Abdul Khalid menegaskan Kerajaan Negeri hanya meluluskan pemberian pemilikan tanah kepada individu yang betul-betul layak memilikinya.

“Kita boleh nyatakan sejak empat tahun lepas siapa kita berikan pemilikan tanah dan setiap pembangunan mesti dilakukan dengan betul dengan mematuhi undang-undang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri masih mempertimbangkan untuk merayu berkenaan isu penarikan tanah seluas 318.8 hektar di Serendah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) tersebut tidak sah disisi undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.