Selangor Peruntuk RM500 Juta Atasi Masalah Banjir

DENGKIL, 17 NOV – Kerajaan Selangor akan memperuntukkan RM500 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukkan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Perkara ini bakal dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sesi Dewan Undangan Negeri Selangor, yang akan bermula minggu hadapan.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Kepada Mangsa Bencana Daerah Sepang berkata, Kerajaan Negeri bersedia berbuat demikian memandangkan rizab simpanan negeri telah meningkat sehingga RM2.5 billion.

Menurutnya, beliau telah memanggil pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat beberapa kajian dimana lokasi yang mempunyai potensi besar berhadapan bencana banjir apabila air pasang sebagai perancangan jangka pertengahan.

“Untuk perkara itu sudah semestinya kita memerlukan dana. Sudah semestinya proses pembaikan dana terbesar datangnya dari kerajaan persekutuan melaluli Rancangan Malaysia.

“Walaubagaimanapun empat tahun kebelakangan ini dana tersebut tidak turun.

“Untuk menyelesaikan masalah ini, saya akan menggunakan dana rizab Selangor.

“Rizab Selangor telah meningkat dari RM600 juta kepada RM2.5 billion. Oleh sebab itu, kita akan gunakan RM500 juta untuk mendahulukan peruntukkan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya akan nyatakan perkara ini pada sesi Dewan Negeri nanti,” katanya.

Untuk perancangan jangka pendek, Abdul Khalid juga telah meminta Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim sebagai pengerusi untuk memantau dan memberi laporan mingguan terperinci berhubung masalah banjir di Selangor.

“Kedua saya meminta membuat cadangan, apa yang perlu kita lakukan antara lain seperti membuat kolam takungan, membesarkan parit bagi memudahkan penyimpanan air sebagai persediaan jangka panjang.

“Akhirnya, kita akan menyediakan pelan penempatan di lokasi banjir yang sukar diselesaikan,” jelasnya lagi.

Awal bulan ini menyaksikan beberapa kawasan di Dun Dengkil dan Daerah Sepang berhadapan bencana banjir yang melibatkan sembilan buah kampung dan tujuh buah taman.

Justeru itu, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan sebayak RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan beban yang dihadapi.

Majlis penyerahan sumbangan kepada 250 buah keluarga petang tadi, Abdul Khalid diiringi oleh Exco Kebajikan, Wanita, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail serta Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim.

Abdul Khalid juga turut meluangkan masa bertemu beberapa keluarga di Kampung Sri Tanjung dan melihat sendiri keadaan Sungai Langat yang terletak di Taman Permata.

Ahmad Tarmizi Mohd Zain, 31 dari Kampung Chemperai yang ditemu berkata, kejadian banjir kali ini merupakan yang terburuk pernah dihadapinya berbanding sebelum ini.

Katanya, dalam kejadian banjir sekitar jam 3.00 pagi itu, air naik sehingga paras bawah lutut.

“Saya sempat menyelamatkan ahli keluarga dan beberapa barangan untuk diletakkan di tempat yang tinggi.

“Ini kejadian kedua, sebelum ini bahagian dapur sahaja dinaiki air.

“Syukur Alhamdulillah kerana bantuan ini hadir disaat saya memerlukan. Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Tarmizi Ahmad, 39, dari Kampung Semarang, berkata, ini merupakan pengalaman pertama berhadapan bencana banjir dan beliau menghadapi kerugian yang dianggarkan bernilai RM7,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published.