Categories
SELANGOR

Syed Husin dan Chandramohan dilantik Senator Dewan Negara

SHAH ALAM 29 NOV : Bekas Timbalan Pengerusi DAP Selangor, T Chandra Mohan dan Bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Selangor bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Perlantikan dari Dewan Negeri Selangor ini merupakan pertama untuk Chandramohan dan kedua bagi Dr Syed Husin.

Chandramohan akan menggantikan Dr S Ramakrishnan yang menamatkan tempohnya pada 9 Disember depan. Dr Syed Husin akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 16 Disember.

Selain berpengalaman luas lebih 50 tahun sebagaiĀ  seorang ahli politik, Syed Husin sebelum ini juga merupakan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1990 hingga 2001.

Beliau pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dari London School of Economic and Political Science selain Ijazah Sarjana Dalam Pengurusan Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur serta Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pentadbiran UM, Singapura.

Beliau juga merupakan aktivis sosial dan ahli akademik yang pernah bertugas selaku Profesor di Bahagian Pembangunan Manusia UM pada 1982 hingga 1986 serta Jabatan Antropologi dan Sosiologi UM (1986 – 1990) di samping Ahli Senat univerisiti sama (1981 – 1990).

Selain itu, Dr Syed Husin telah menulis dan mengedit lebih 20 buku dan 100 kertaskerja untuk majalah di peringkat negara dan antarabangsa.

Antara buku tersebut ialah ?Apa Erti Pembangunan, Pembangunan di Malaysia : Perancangan, Pembangunan dan Presrasi? serta ?The Malays : Their Problems and Future?.

Bekas Pengasas Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ini turut menyumbang kepakarannya kepada badan antarabangsa seperti Unesco dan United Nations University.

Sementara itu, Chandramohan, pemegang Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Sumber Manusia) University Western City, Australia, adalah seorang aktivis hak pekerja berpengalaman melebihi 30 tahun.

Seorang bekas Ahli Parlimen dan bekas Pegawai Perhubungan Kesatuan Pekerja Pengangkutan (Transport Workers Union) dari 1977 hingga 1995.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) sebuah agensi Kementerian Sumber Manusia selama lima tahun.

Beliau ketika ini adalah Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pensyarah sambilan di sebuah universiti swasta di Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.