Categories
NASIONAL SELANGOR

Usul Desak Kementerian Pertanian Semak Tender Benih Padi Meragukan


SHAH ALAM, 30 NOV: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim membentangkan usul di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) mendesak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyemak semula pemberian tender kepada dua buah syarikat pembekal benih padi.

Syarikat tersebut adalah Seri Merbok Sdn Bhd dan Hj Mohd Noor Sdn Bhd yang masing-masing mendapat tender sebanyak 22,000 tan
dan 20,000 tan.

Seri Merbok Sdn Bhd diketuai oleh pengarahnya Datuk Rais Zainuddin yang juga bekas exco Negeri Sembilan manakala Hj Mohd Noor dimiliki bapa kepada Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor, Ahmad Fuad Mohd Noor.

Sedangkan menurut Sue Lim, beberapa syarikat lain hanya berjaya memperolehi tender sekitar 2,000 hingga 8,0000 ribu tan sahaja.

“Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diketahui mempunyai kemampuan lebih baik dari segi kewangan, jentera dan kepakaran hanya dapat sedikit atau tidak dapat langsung.

“Ini ada sesuatu yang tidak kena, apa keistimewaan mereka ini sebab ini adalah wang rakyat dan saya mengesyaki mereka adalah kroni,” kata Suee Lim ketika ditemui TV Selangor selepas persidangan ditangguhkan petang ini.

Suee Lim mendakwa kegagalan kementerian memberikan tender kepada pihak yang mampu menyebabkan benih yang dibekalkan tidak berkualiti sekaligus menjejaskan pendapatan pesawah.

“Tindakan seperti ini sekiranya berlaku, tentu hanya menguntungkan kroni berbanding petani iaitu rakyat,” ujar beliau lagi.

Sue Lim berkata sekiranya usul ini diluluskan, satu surat dari Dewan Negeri Selangor akan dihantar kepada kementerian untuk meminta semakan semula dilakukan.

Beliau juga berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis dapat menjalankan siasatan terhadap isu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.