Lajim Isytihar Umno Sabah Tak Pernah Terima RM 40 Juta

PETALING JAYA, 11 DIS: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin mengisytiharkan Umno Sabah tidak pernah menerima derma politik RM40 juta dari ahli perniagaan, Michael Chia.

Pengisyiharan itu bercanggah dengan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz Oktober lalu yang wang tersebut adalah untuk Umno Sabah.

Perisytiharan tersebut dibuat dalam satu akuan bersumpah (SD) bertarikh 10 Disember 2012, di pejabat Pesuruhjaya Sumpah Malaysia, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Lajim dalam SD tersebut, dakwaan Nazri di dalam Parlimen adalah supaya pendakwaan rasuah melibatkan skandal konsesi balak terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Micheal terpaksa digugurkan.

Pada 9 Oktober lalu dalam persidangan Dewan Rakyat, Nazri memberitahu, RM 40 juta yang disalurkan Micheal kepada Musa merupakan sumbangan politik kepada Umno Sabah dan bukannya untuk Musa secara peribadi.

Nazri membuat kenyataan itu selepas terdapat laporan media bahawa Michael ditangkap di Lapangan Terbang Hong Kong disyaki cuba menyeludup keluar wang haram berjumlah S$16 juta (RM 40 juta).

Menurut laporan media ketika itu, Michael mendakwa wang tersebut milik Musa.

Lajim pernah menduduki jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sehingga Ogos 2012.

Beliau merupakan bekas anggota Badan Perhubungan Umno Sabah.

Beliau berkata tidak pernah berlaku sebarang perbincangan, perisytiharan, sebarang bukti urusniaga, transaksi atau urusan, laporan penyata atau bukti bahawa Umno Sabah ada menerima manfaat dari derma RM 40 juta itu.

“Oleh demikian, saya menyimpulkan bahawa kenyataan menteri berkenaan kepada parlimen adalah tidak benar, menyeleweng dan berniat menutup isu lebih besar.

?Iaitu dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang hanya menguntungkan beberapa orang sedangkan rakyat dan Negeri Sabah tidak mendapat pulangan setimpal,” menurut Lajim dalam SD itu.

Lajim yang mengesyaki lesen pembalakan di Sabah sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin Kerajaan Sabah.

Lajim juga mengesyaki wang haram tersebut disimpan di luar negara dengan menggunakan ajen tertentu sebelum disalurkan semula kepada pemimpin-pemimpin utama politik di Sabah.

Lajim berkata beliau bersedia tampil membantu siasatan mana-mana pihak dalam skandal pembalakan ini.

“Saya yakin pengalamaan, pengetahuan dan maklumat dalaman yang saya ada mengenai perjalanan Umno dan kerajaan di peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan,” ujar Lajim dalam SD itu.

Sementara itu, Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli memberitahu media, SD tersebut merupakan salah satu bukti yang akan diserahkan kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) untuk memulakan siasatan skandal tersebut.

“Kedudukan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Badan Perhubungan Umno Sabah sepatutnya menjamin bahawa beliau juga akan dimaklumkan sekiranya ada sumbangan sebesar itu kepada Umno Sabah,” ujar Rafizi di dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.