Categories
NASIONAL

Kenyataan Nazri terhadap Tun M angkuh dan biadap

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 FEB: Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membidas kenyataan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang disifatkan sebagai angkuh dan biadap kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebagai seorang pemimpin, Mohamed Nazri sepatutnya berjiwa besar dan mampu mendengar kritikan semua pihak termasuk negarawan seperti Mahathir dengan hati yang terbuka.

“Reaksi diberikan angkuh dan memang biadap tetapi memang kita tahu bagaimana sikap dia sejak dulu lagi dan kalau pandangan negarawan seperti Tun Dr Mahathir diketepikan atau tak diambil kisah, bagaimana kritikan rakyat yang datang daripada media sosial, khususnya anak muda diambil kira oleh Nazri Aziz.

“Saya harap beliau tidak lagi bodoh sombong, kena beri perhatian kepada kritikan rakyat khususnya golongan anak muda,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, semua pihak berhak memberikan pandangan masing-masing dalam pelbagai isu termasuk membabitkan kepentingan negara.

Terdahulu, dalam isu logo bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 menjadi perbualan nitizen gara-gara mempunyai rekabentuknya terlalu ringkas yang dianggap tidak mampu menarik perhatian pelancong luar negara.

Logo terbabit turut mendapat perhatian Mahathir sebelum dibalas dengan kenyataan yang dikatakan menyamakan Mahathir dengan monyet.

“Saya guna (gambar) monyet itu supaya monyet macam dia (Mahathir) buat ulasan macam ini,” kata menteri yang terkenal dengan cakap lepasnya itu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Nazri ‘hilang’ suara berdepan Tun M

SHAH ALAM, 26 MAC: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz masih dapat bertemu walaupun sekadar menghirup semangkuk cendol selepas debat antara mereka di Kuala Kangsar ditangguhkan.

Pada program ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia semalam, Mahathir menceritakan kesungguhan Nazri untuk berdebat dengan beliau.

“Tetapi saya nampak partinya tidak sokong, kerajaan tidak sokong, tiada siapa yang sokong dia supaya dia tidak boleh berdebat dengan saya.

tun-m“Tetapi tidak apa, kita berdebat di Shah Alam pada 7 April,” katanya lapor MalaysiaKini.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, beliau hairan dengan suasana ‘sepi’ antara mereka, semalam.

“Dia bertekad jumpa saya tetapi apabila bertemu di tempat cendol, dia tidak berkata apa-apa. Apa gunanya berjumpa tetapi tidak kata apa-apa,” katanya disambut gelak ketawa hadirin di ceramah itu.

Secara tiba-tiba, mikrofon digunakan Mahathir tidak berfungsi dan selepas lebih seminit ia kembali berfungsi apabila penganjur bergegas untuk menyelesaikan masalah dengan Mahathir sempat berjenaka.

“Mikrofon ini seperti Nazri, hilang suara,” katanya.

-NFN-

Lajim Isytihar Umno Sabah Tak Pernah Terima RM 40 Juta

PETALING JAYA, 11 DIS: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin mengisytiharkan Umno Sabah tidak pernah menerima derma politik RM40 juta dari ahli perniagaan, Michael Chia.

Pengisyiharan itu bercanggah dengan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz Oktober lalu yang wang tersebut adalah untuk Umno Sabah.

Perisytiharan tersebut dibuat dalam satu akuan bersumpah (SD) bertarikh 10 Disember 2012, di pejabat Pesuruhjaya Sumpah Malaysia, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Lajim dalam SD tersebut, dakwaan Nazri di dalam Parlimen adalah supaya pendakwaan rasuah melibatkan skandal konsesi balak terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Micheal terpaksa digugurkan.

Pada 9 Oktober lalu dalam persidangan Dewan Rakyat, Nazri memberitahu, RM 40 juta yang disalurkan Micheal kepada Musa merupakan sumbangan politik kepada Umno Sabah dan bukannya untuk Musa secara peribadi.

Nazri membuat kenyataan itu selepas terdapat laporan media bahawa Michael ditangkap di Lapangan Terbang Hong Kong disyaki cuba menyeludup keluar wang haram berjumlah S$16 juta (RM 40 juta).

Menurut laporan media ketika itu, Michael mendakwa wang tersebut milik Musa.

Lajim pernah menduduki jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sehingga Ogos 2012.

Beliau merupakan bekas anggota Badan Perhubungan Umno Sabah.

Beliau berkata tidak pernah berlaku sebarang perbincangan, perisytiharan, sebarang bukti urusniaga, transaksi atau urusan, laporan penyata atau bukti bahawa Umno Sabah ada menerima manfaat dari derma RM 40 juta itu.

“Oleh demikian, saya menyimpulkan bahawa kenyataan menteri berkenaan kepada parlimen adalah tidak benar, menyeleweng dan berniat menutup isu lebih besar.

?Iaitu dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang hanya menguntungkan beberapa orang sedangkan rakyat dan Negeri Sabah tidak mendapat pulangan setimpal,” menurut Lajim dalam SD itu.

Lajim yang mengesyaki lesen pembalakan di Sabah sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin Kerajaan Sabah.

Lajim juga mengesyaki wang haram tersebut disimpan di luar negara dengan menggunakan ajen tertentu sebelum disalurkan semula kepada pemimpin-pemimpin utama politik di Sabah.

Lajim berkata beliau bersedia tampil membantu siasatan mana-mana pihak dalam skandal pembalakan ini.

“Saya yakin pengalamaan, pengetahuan dan maklumat dalaman yang saya ada mengenai perjalanan Umno dan kerajaan di peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan,” ujar Lajim dalam SD itu.

Sementara itu, Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli memberitahu media, SD tersebut merupakan salah satu bukti yang akan diserahkan kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) untuk memulakan siasatan skandal tersebut.

“Kedudukan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Badan Perhubungan Umno Sabah sepatutnya menjamin bahawa beliau juga akan dimaklumkan sekiranya ada sumbangan sebesar itu kepada Umno Sabah,” ujar Rafizi di dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.