Categories
NASIONAL

Penjimatan RM3.5B IPP Jika PR Tadbir Putrajaya

SHAH ALAM 7 DIS : Pakatan Rakyat (PR) hari ini muncul dengan pelan penjimatan wang Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM3.5 bilion setahun seandainya berjaya ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) nanti.

Pengerusi Biro Pelaburan & Perdagangan PKR, Wong Chen berkata, penjimatan wang yang dibayar kepada Pembekal Kuasa Bebas (IPP) dapat dicapai sekiranya pengurangan rizab margin kuasa elektrik dan rundingan semula kontrak sedia ada di antara IPP dan TNB dilaksanakan.

“Masalah kewangan TNB berasal dari terma-terma berat sebelah perjanjian ‘Power Purchasing Agreement'(PPA) dengan syarikat-syarikat IPP.

“Kos pembinaan IPP juga sering dibesarkan untuk menyembunyikan pulangan atas pelaburan IPP yang tersangat tinggi.

“Di samping itu, dasar polisi BN untuk mengekalkan margin rizab kuasa yang sangat tinggi membuka peluang untuk lebih IPP kroni dibina,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan PR komited untuk berunding semula dengan IPP bagi menurunkan purata Pulangan Atas Pelaburan (ROI) daripada 19 peratus kepada kadar sepuluh peratus.

“Dengan mengambil kira sektor penjanaan kuasa yang melibatkan kontrak jangka panjang dan risiko operasi yang kecil, kita percaya kadar ROI untuk IPP yang adil dan munasabah adalah 10 peratus sahaja.

“Kadar tersebut juga masih mampu memberi keuntungan yang baik untuk IPP,” ujar beliau sambil menambah langkah tersebut membolehkan TNB melakukan penjimatan sehingga RM 2.6 bilion setahun.

Tambahnya lagi, PR juga akan menurunkan rizab margin pada kadar optimal 20 peratus, yang kini diuruskan Kerajaan Pusat pada kadar terlalu tinggi iaitu 38 peratus.

Penurunan kadar rizab margin itu, menurut Wong, membolehkan TNB beroleh penjimatan sebanyak RM870 juta setahun.

Dengan itu, TNB akan melonjakkan keuntungan tahunan sehingga RM5.6 bilion setahun jika dibandingkan keuntungan tahunan yang mampu diraih TNB iaitu sebanyak RM2.14 bilion sahaja setahun.

PR juga memberi jaminan bahawa pengurusan TNB akan bebas daripada campurtangan politik yang tidak wajar dengan urusan yang lebih telus.

“Apabila sasaran operasi dan kewangan dipenuhi, kita akan menimbangkan penjualan 10 peratus saham TNB yang kini dipegang oleh Khazanah, kepada kesemua 30,000 pekerja dan pengurusan TNB.

“Ini adalah sebahagian daripada dasar ekonomi ‘management buy-out’ untuk mewujudkan kelas menengah pengurus – pemilik selain bertujuan mengurangkan penglibatan kerajaan di sektor swasta,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.