Sultan Selangor: Institusi Masjid Perlu Giat Latih Generasi Muda

GOMBAK 7 DIS:  Institusi masjid perlu menggiatkan lagi usaha untuk melatih generasi muda masa kini agar menjadi pelapis dan pengganti yang berwibawa pada masa akan datang.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian semasa merasmikan Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Gombak di sini hari ini.

“Beta mahukan institusi masjid perlu giat untuk melatih generasi muda dengan memberikan ilmu pengetahuan yang secukupnya agar menjadi pelapis di masa akan datang,” titah baginda.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen serta Adun Selangor.

Baginda juga bertitah agar Ahli Jawatankuasa Masjid bersikap amanah, berwibawa dan professional serta dapat bekerjasama erat bagi merangka program yang boleh memakmurkan masjid.

“Ahli Jawatankuasa Masjid juga hendaklah memastikan bahawa di kariah tersebut tidak terdapat unsur-unsur ajaran sesat yang boleh memudaratkan umat Islam di Negeri Selangor ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, kira-kira 1,000 masyarakat dan penduduk di sini bersama-sama baginda untuk majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena hari keputeraan ke-67 baginda sebelum menunaikan solat Jumaat berjemaah.

Masjid Al-Hidayah ini siap dibina pada 6 November 2012 lalu dengan kos RM7 juta bagi menggantikan masjid lama yang tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin ramai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin dalam ucapannya berkata, masjid yang dibina akan berfungsi secara berterusan dan tidak terhad pada waktu tertentu sahaja seperti waktu solat.

“Adalah diharapkan masjid ini menjadi sebuah institusi yang dapat memenuhi fungsi ibadah yang bersepadu sebagaimana yang dituntut oleh syariat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.