Categories
NASIONAL

AMK Selangor Mohon Campurtangan Sultan Selangor Atasi Isu Air

syabas-AIR1

SHAH ALAM, 21 JAN : AMK Selangor memohon campur tangan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya membantu Kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ketuanya, Azmizam Zaman Huri berkata, AMK Selangor dengan kerjasama Pakatan Rakyat dan NGO akan menggerakkan satu perhimpunan aman Jumaat ini bagi tujuan tersebut.

?Himpunan Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat? itu akan diadakan pada 25 Januari di perkarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang selepas Solat Jumaat.

Himpunan tersebut akan berarak ke Istana Alam Shah untuk merafak sembah dan menyerahkan memorandum kepada DYMM Sultan Selangor supaya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda bagi mengatasi isu air itu.

“Ia bagi membantu usaha Kerajaan Selangor dalam mengambil alih Syabas seterusnya menguruskan sepenuhnya urusan pembekalan air kepada seluruh rakyat negeri Selangor, ” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Himpunan ini berikutan gangguan bekalan air baru-baru ini yang menjejaskan setengah juta penduduk di kawasan Lembah Klang selama daripada 29 Disember 2012 hingga ke 15 Januari.

Ujar Azmizam, Umno-BN menerusi media kawalan mereka secara berterusan memanipulasi masalah ini seolah-olah ianya berpunca daripada keengganan Kerajaan Selangor untuk memberi kelulusan kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Hakikatnya, pihak Syabas yang telah diberikan kontrak menguruskan pembekalan air terawat kepada rakyat Selangor telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Telah sampai masanya untuk kami turun merafak sembah dan memohon ihsan ke bawah DYMM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj untuk campurtangan di dalam isu ini.

“AMK Selangor sekali lagi mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi akan hasrat Kerajaan Selangor untuk mengambilalih Syabas.

“Dan percaya Kerajaan Selangor dipimpin Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berupaya memberi perkhidmatan air terawat yang lebih baik kepada rakyat Selangor dengan kadar tarif yang berpatutan dan tidak membebankan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.