Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Anjur Kempen 1 Juta Tandatangan, Desak SYABAS Serah Pengurusan Air

yahya saari

PETALING JAYA, 11 JAN : Biro Kepenggunaan PKR akan melancarkan kempen 1 juta tandatangan pengguna bermula esok bagi mendesak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyerahkan pengurusan air kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Pengerusinya, Yahya Sahri berkata, kempen itu dibuat setelah mendapat desakan daripada pelbagai pihak yang mewakili pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk memastikan Syabas mengundur diri.

Menurutnya, kempen itu turut mendapat sokongan daripada 35 badan bukan kerajaan (NGO), ketua kampung serta ketua komuniti di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Desakan ini adalah kerana Syabas gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna sebagai sebuah syarikat konsesi bekalan air terawat di Selangor dan Kuala Lumpur. Kegagalan Syabas dapat dilihat dan dirasai oleh semua pengguna kerana gagal membekalkan air yang berkualiti dan bersih kepada pengguna.

“Syabas juga secara terang mengakui bahawa pengurusannya gagal memberi khidmat yang baik kepada pengguna bila bahagian aduannya setiap hari menerima ribuan aduan daripada pengguna. Sekiranya pengguna berpuas hati, mereka tidak akan membuat aduan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Tambah Yahya, pihaknya juga akan menganjurkan kempen menyaman Syabas ekoran gagal melaksanakan perjanjian membekal kualiti air terbaik kepada pengguna terutama di Selangor.

Beliau berkata, ekoran kegagalan Syabas menyelanggara pam-pam air, pengguna kini terpaksa berhadapan krisis bekalan air yang semakin serius.

“Biro Kepenggunaan mahu Syabas berhenti daripada berpolitik dan bertindak jujur dengan tidak memberi alasan bahawa ketiadaan Projek Langat 2 menyebabkan berlakunya krisis air. Syabas perlu menyerahkan secara terhormat pengurusan air kepada Kerajaan Negeri kerana air bukan untuk dijual beli tetapi adalah untuk keperluan rakyat,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.