Categories
SELANGOR

Isu Air: Kerajaan Negeri Hantar Surat Kepada Kementerian Kewangan

khalid-ibrahim

KLANG, 15 FEB: Kerajaan Negeri akan menghantar surat kepada Kementerian Kewangan supaya bersetuju terhadap tawaran bagi mengambil alih operasi pengurusan bekalan air di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan selaku pemegang saham emas (golden share) dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diminta supaya menerima tawaran yang dikemukakan Kerajaan Negeri.

“Saya akan tulis surat kepada Kementerian Kewangan supaya bersetuju dengan tawaran saya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Ketiga Klang di Jalan Tepi Sungai, Klang hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan bahawa Kerajaan Pusat tiada masalah dengan usaha Selangor untuk menstruktur semula industri air di negeri berkenaan.

Justeru, Abdul Khalid membayangkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Sri Peter Chin Fah Kui akan mengatakan Kerajaan Pusat tiada halangan jika Kerajaan Negeri ingin mengambil alih pengurusan bekalan air di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, perkataan tiada halangan itu menunjukkan sikap tidak profesional Kerajaan Pusat dalam menangani isu air ini.

Jelasnya, perkataan tiada halangan tidak tepat sepatutnya jawapan Peter Chin ialah bersetuju Kerajaan Negeri mengambilalih air di Selangor.

“Kerajaan Pusat bersetuju Kerajaan Negeri berhak ambil alih konsesi-konsesi ini seperti yang dinyatakan dalam undang-undang air (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006),” jelasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan mengumumkan tawaran kepada semua syarikat konsesi mulai minggu hadapan.

“Kita akan mengumumkan tawaran kita minggu hadapan dan terpulang pada pemegang konsesi untuk terima atau tidak,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.