Categories
NASIONAL

Bersih Gesa Polis Bertindak Pantas Terhadap Keganasan Politik

Bersih di Bangsar 01

BANGSAR, 18 APRIL : Bersih 2.0 mendesak polis Kuala Lumpur bertindak pantas mengatasi keganasan politik yang semakin berleluasa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ini ekoran beberapa kejadian kejadian membimbangkan dan yang terbaru seorang lelaki diserang dan ditetak sekumpulan lelaki ketika sedang memasang bendera parti di Terengganu.

Ahli Jawatankuasa Khas Bersih, Zaid Kamaruddin berkata, tindakan pantas polis Terengganu perlu dipuji dalam mencari dan menangkap mereka yang terlibat.

Katanya, polis Kuala Lumpur perlu mengambil pendekatan sama memandangkan beberapa laporan polis dibuat antaranya oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan pimpinan Pakatan Rakyat lain berhubung keganasan serta ancaman berterusan pihak tidak bertanggungjawab.

“Bersih 2.0 mengingatkan pihak polis bahawa ia adalah tanggungjawab pihak polis untuk memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia, termasuk semua penyokong dan ahli-ahli politik pada masa ini.

Bersih di Bangsar 02“Kami juga kecewa kerana pihak polis telah menggunakan taktik menakutkan dan bukan memastikan tindakan terhadap keganasan dan pelanggaran undang-undang adalah konsisten di seluruh negara,” katanya pada satu sidang media.

Berdasarkan laporan media, terdapat banyak kejadian keganasan menjelang PRU-13 dilaporkan termasuk kenyataan pihak polis pada 11 April lalu yang telah menerima 108 laporan di seluruh negara berkaitan kes pembakaran bendera-bendera parti dan pergaduhan antara penyokong politik.

Sebelum ini, kejadian lain yang berlaku khususnya di Parlimen Lembah Pantai adalah petugas kempen diugut menggunakan parang selain serangan di dalam pos kawalan PKR Lembah Pantai.

Selain itu, pihak Bersih 2.0 turut membangkitkan perkara salahguna sumber kerajaan untuk kempen menjelang pilihan raya seperti yang dilakukan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di kawasan Lembah Pantai.

Mereka turut mempersoalkan perbelanjaan bernilai RM73 juta untuk iklan oleh Pejabat Perdana Menteri seperti laporan media sebelum ini.

“Berjuta-juta wang pembayar cukai telah dicurahkan. Ke dalam skim dan peruntukkan sejak pembubaran Parlimen dalam apa yang dilihatkan sebagai usaha mempertingkatkan imej parti-parti politik tertentu yang bertanding di dalam pilihan raya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Bersih 2.0 menyeru kepada rakyat untuk terus melaporkan sebarang kejadian keganasan politik dan salah laku pilihan raya kepada pihak berkuasa dalam menangani isu ini.

Salinan polis berkenaan juga boleh dihantar kepada mereka bagi tujuan pemantauan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.