Categories
NASIONAL

Husam: Ada Formula Selesai Masalah Perumahan Di Putrajaya

Husam

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Masalah utama yang dihadapi rakyat marhaen di pusat pentadbiran Putrajaya seperti perumahan akan diselesaikan jika mengundi Pakatan Rakyat(PR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13).

Calon PAS Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa, berkata beliau mempunyai beberapa pendekatan terbaik bagi menyelesaikan permasalahan penduduk yang rata-rata merupakan kakitangan awam kerajaan.

Katanya, beliau berjanji akan berusaha menurunkan sewa Pangsapuri Putra Permai pada kadar yang seharusnya dibayar penduduk.

“Sewa RM350 untuk kakitangan Perbadanan Putrajaya dan untuk perkhidmatan bas Putrajaya untuk ulang biasa RM500.

“Saya boleh katakan kepada anda penghuni pangsapuri ini, RM350 saya turun kepada RM250, yang RM500 turun kepada RM350,” katanya dalam satu siri jelajah merdeka rakyat di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, calon PAS Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin serta hampir 10,000 hadirin.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, beliau memberi cadangan kepada Kerajaan Pusat untuk membina 20,000 buah rumah mampu milik khusus kepada kakitangan kerajaan di Putrajaya.

orang ramaiBagaimanapun, sebaik sahaja Husam diumumkan sebagai calon Parlimen Putrajaya, Ketua Setiausaha Negara(KSN), Datuk Mohd Ali Hamsa terus mengumumkan akan membina sebanyak 10,000 buah rumah Prima di Presint 11.

Menurut Husam, tindakan Kerajaan Pusat untuk membina 10,000 buah rumah Perumahan 1Malaysia(Prima) dengan kos RM2 bilion di atas tanah di Presint 11 Putrajaya adalah suatu yang merugikan.

Ini kerana nilai hartanah di Presint 11 meningkat sehingga RM150 sekaki persegi dan tindakan sewajarnya dilakukan Kerajaan Pusat adalah menjualnya kepada pihak lain dan membeli tanah di kawasan berhampiran yang lebih murah.

Menurutnya, tanah di Bukit Damar bernilai RM50 sekaki persegi dan dengan peruntukan RM2 bilion itu, sebanyak 20,000 buah rumah boleh dibina dengan keluasan yang lebih besar.

“Dengan peruntukan yang disebutkan KSN, kita boleh bina 20,000 rumah dengan keluasan 1000 kaki persegi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Husam turut bercadang untuk membuka Maahad Tahfiz Sains di Putrajaya jika PR berjaya pada PRU-13.

Katanya, konsep maahad tersebut berjaya dibuktikan di Kelantan dan bakal memberi manfaat kepada 95peratus penduduk beragama Islam di kawasan itu.

“Kenapa terbang nak cari di Kelantan, ibu-bapa duduk di Putrajaya.

“Kita dah berjaya di Kelantan, model kita diikuti, budak ini boleh belajar perubatan sampai di Russia, dah keluar balik jadi doktor,” ujar bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Datuk Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Pada PRU-13 yang akan berlangsung 5 Mei ini, Husam akan mencabar penyandang kerusi parlimen berkenaan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Setiausaha Agung Umno.

Leave a Reply

Your email address will not be published.